Archive for Oktober 2006

Cerpen Ramadan

Cinta daerah Menoufia

Oleh Amiza Khusyri Yusof

Kali pertama menjejakkan kaki ke pekan Shibin El-Kom di daerah Menoufia itu, saya tersesat. Tercari-cari rumah Khalil sehingga acap kali bertanya orang-orang Arab tetapi rumahnya masih juga tidak diketemukan. Kebetulan saya tiba apakala jam sudah hampir mencecah sebelas setengah malam. Silap saya juga kerana tidak menumpukan sepenuh perhatian terhadap penerangan panjang lebar Khalil tentang di mana duduk letak rumahnya itu sebelum ini.

Saya akhirnya duduk keletihan di atas bangku kayu yang diatur berjajaran di sepanjang Jalan Ibli pekan itu. Nafas resah saya hela sepuas-puasnya sambil mendongak memejam mata. Apakala mata dibuka, saya lihat bintang berkelip-kelip di dada langit Menoufia. Bulannya dilindungi ropol-ropol awan yang berambalan. Dingin malam penghujung musim panas sudah mula terasa. Angin Ramadan yang menyilir lembut terasa sedikit segar berbanding siangnya.

Jalan itu sudah mulai lengang tetapi tetap terang dengan suluhan lampu jalan. Ada beberapa buah kenderaan sahaja yang lewat. Tidak lagi ripuh seperti siang dan awal malamnya dengan geru kenderaan. Lampu-lampu yang berbentuk seperti tanglung tergantung melintang di hujung jalan itu mengucapkan selamat datang kepada Ramadan al-Mubarak. Berbanding kota Kaherah yang sentiasa hidup dua puluh empat jam, kota ini lebih damai dan tenteram.

Saya bingkas dan menyerangguh di atas pagar besi yang memisahkan gigi jalan itu dengan sungai Nil. Melempar pandang ke arah Nil yang mengalir sepanjang 4,132 batu dari Sungai Kagera itu, resah di hati semakin tenang.

Ketika sedang ralit melihat permukaan air yang membiaskan lampu jalan, saya terdengar suara memberi salam dari belakang. Air sungai itu pula secara serentak berdebur kuat menempiaskan air yang dibawa semilir terus ke muka. Damai yang sedang merewak ke dalam diri pantas dijarah kaget. Sebaik meraup wajah dan menjawab salam perlahan, saya terus memandang ke arah suara yang menyapa memberi salam.

Kelihatan seorang pemuda berjubah dan berserban putih sedang duduk di atas bangku kayu membelakangkan saya. Saya mengeluh sedikit meredakan rasa terkejut dengan sapaan yang secara tiba-tiba itu, kemudian terus kembali berpaling memandang ke arah permukaan air yang berkocak. Barangkali ikan-ikan sedang rancak bermain.

"Kau masih belum jawab salam aku." Kata-kata itu menyebabkan saya tersentak dan kembali berpaling melihat pemuda berjubah itu.

"Salam engkau telah aku jawab." Suara saya bernada sinis.

Dia kelihatan terangguk-angguk. Saya jadi gementar pula apakala melihat gelagatnya itu. Tetapi mengenangkan saya kini berada dalam bulan yang mulia, maka lekas saya tepis segala prasangka yang sedang menyelinap ke dada.

Duhai Ramadan,
Kau tidak pernah pergi dari jiwaku
Kau tidak pernah hilang dalam hatiku
Kau tidak pernah mati sepanjang hayatku.


Saya tertegun. Secara tiba-tiba pula dia bersyair dengan suara lantang mendesah. Air sungai Nil berkocak kuat. Semilir pula tiba-tiba berhembus gancang.

"Aku kini sedang bercinta." Dia berkata sambil beralih duduk sedikit ke sebelah kanan. Seperti memberi ruang untuk saya duduk di sebelahnya.

Kaki saya seperti dipacu dan terus duduk di sebelah pemuda itu. Beg galas saya letakkan di atas pangku. Saya terpegun melihat wajahnya yang persih dihiasi jambang dan janggut panjang santak ke pangkal dada. Dua kening lebatnya hampir bercantum dengan bulu mata melentik.

"Bercinta?" Saya bertanya kembali sambil mata tajam menikam wajahnya.

"Ya cinta, selain dari lima cinta; cinta kepada Allah, Rasul, kitab, ibubapa dan guru, aku juga ada lagi dua cinta." Dia memandang saya dan menghadiahkan senyuman akrab.

"Dua cinta?" Mata saya jadi sepet. Kening pula sudah berkerut. Hati saya diserkup pelik.

"Ya, yang pertama, tentunya aku cintakan Ramadan." Senyumannya tekal.

Kepelikan dan segala prasangka yang mula bersarang di hati pantas menghilang. Saya membalas senyumannya dengan lebih akrab.

"Cinta lagi satu?" Saya bertanya tetapi kali ini dengan kening sedikit terjungkit.

"Aku tinggal di situ." Dia tidak terus menjawab, sebaliknya menuding ke arah sebuah rumah besar seperti banglo tidak jauh dari situ. Banglo dua tingkat itu saya tidak perasan pula warnanya kerana cahaya lampu jalan yang kekuningan. Tetapi bentuknya klasik dan ada ukiran-ukiran kaligrafi di atas jendela dan pintunya.

"Rumah itu hasil dari usaha titik peluh aku sendiri. Aku bangga kerana itu adalah usaha yang datang dari tanah tempat tumpah darahku sendiri. Di bumi Menoufia ini." Dia bersuara lembut dan matanya kelihatan bersinar-sinar dibias lampu jalan.

"Kau kerja apa?" Saya terus menyelongkar naratif dirinya.

"Aku petani." Dia tersengih menampakkan baris giginya yang putih memandang saya. Jubah putih dan ekor serbannya berolak-olak ditiup semilir.

Ketika itu, di layar benak terbayang-bayang ladang dan sawah hijau yang melaut diterangi cahaya bulan di sepanjang perjalanan menuju ke pekan ini tadi.

"Ya, kota ini sumber utamanya adalah pertanian. Sehingga burung-burung bangau putih yang selalu meninjau batang-batang padi muda kami, memagut cacing dan serangga yang merosakkan tanaman, kami gelarkan sebagai sahabat. Sahabat petani." Dia seperti dapat menebak apa yang bermain di fikiran saya.

"Sebelum menuai, kami akan bersyair beramai-ramai memuji kebesaran Allah." Dia tersenyum sendiri sambil memandang asfalt jalan.

Allahu Allahu Allahu
Kau sumber kebahagian kami
Kau sumber kejayaan kami
Hasil penat kami
Kauberi rezeki
Menggembirakan hati-hati kami.


Dia bersyair lantang lagi dengan ritma beralun-alun seperti nasyid qasidah pula bunyinya. Syair itu mengingatkan saya kepada syair-syair cinta Majnun kepada buah hatinya Laila. Saya jadi tertarik amat sehingga tidak sedar yang saya sedang menongkat dagu mendengar dengan khusyuk.

"Walaupun ramai pemuda-pemudi Mesir yang berbangga belajar dan bekerja di luar negara seperti di Amerika Syarikat dan Jepun, bangga berkahwin dengan orang asing, berahi dengan muzik dan hiburan-hiburan Barat, tetapi aku tetap berbangga menjadi seorang petani di bumi sendiri." Dia mengalih pandang ke arah banglonya yang tersergam cantik disimbahi lampu jalan itu.

"Aku tetap berbangga dengan bumi sendiri, tanpa perlu mengagung-agungkan orang lain. Kami ada jati diri dan kita umat Islam tak perlukan idola baru," dia tiba-tiba mengeluh dan saya lihat ada air bergenang di kelopak matanya.

"Aku cintakan tanah airku sendiri." Sebaik usai melafazkan kata-kata itu semilir terus berpuput lembut menyapa wajah. Hati saya tiba-tiba menjadi sayu.

"Kausesat, bukan? Mari aku bawakan engkau ke masjid." Dia terus bingkas dan memegang tangan kanan saya. Saya terkedu dengan perlakuannya dan secara tiba-tiba pula saya jadi seperti pak turut. Hati terus dihujani tanda tanya - bagaimana pula dia tahu saya sesat?

Saya akhirnya melewakan sahaja persoalan itu apakala kami sudah mula berjalan. Tidak sampai lima minit, kami tiba di sebuah masjid di tengah-tengah pekan. Setelah berwuduk dan usai solat sunat, saya teringat untuk bertanya nama pemuda itu, tetapi terpaksa menangguhkan hasrat apakala melihat dia masih lagi bersolat sunat dengan penuh khusyuk.

Saya terus baring di belakang masjid dan tidak sedar bila mata terlelap selepas itu. Saya hanya sedar sebelum azan subuh berkumandang setelah digerakkan oleh seorang Arab tua, dan barulah tercari-cari semula pemuda berjubah dan berserban putih itu tetapi kelibatnya sudah tidak kelihatan.

Usai solat subuh berjemaah, saya tiba-tiba terlihatkan Khalil sedang khusyuk berzikir di penjuru kanan masjid. Saya menegurnya dan dia terkejut bertanyakan bila saya tiba. Saya menceritakan satu-persatu kisah yang berlaku malam tadi. Dia tambah terkejut dan berkata - pekan itu tidak ada walau sebuah banglo pun!

Hati saya bergalau dan mengajak Khalil pergi ke tempat itu semula. Nyata banglo yang dikatakan pemuda berjubah putih itu semalam hanyalah sebuah bangunan kerajaan.

Setelah tiba di rumah Khalil, saya terus menyendiri di dalam kamar. Meladeni tanda-tanda istifham yang berasak-asak muncul di minda. Sehingga saya merasakan waktu pada hari itu terlalu cepat berlalu.

Sehinggalah waktu berbuka, setelah mencicipi sebiji tamar bersama air suam dan usai menunaikan solat maghrib disusuli solat sunat hajat, barulah hati yang libang-libu jadi sedikit tenang. Saya kembali berfikiran waras, berfikir secara rasional dan kritis.

Biarlah Khalil dan rakan-rakan yang lain berkata saya hanya berkhayal, saya hanya bermimpi ketika tidur, tetapi hanya saya yang tahu apa yang berlaku.

Ya, pertemuan itu adalah sebuah tuhfah sempena Ramadan. Pertemuan yang memaknakan ketulusan semangat dan cinta kepada jati diri dan tanah air. Pertemuan yang menjadikan saya lebih mencintai bulan Ramadan. Pertemuan yang barangkali seperti kata mereka tidak wujud, tetapi bagi saya tidak sia-sia.

Benar, pemuda berjubah dan berserban putih itu telah mengajar saya tentang cinta. Cinta di sebuah daerah bernama Menoufia.

Berita Minggu, 16 Oktober 2005.

Leave a comment

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.