Archive for 2005

Adik, ayah dan tahun baru

Adik betul-betul terkejut. Terkejut dengan kata-kata ayah pada pagi satu januari, waktu itu matahari baru sepenggalah naik di kaki langit, adik datang kepada ayah dan mengucapkan selamat tahun baru dengan ikhlas.

"Dik, ini bukan tahun baru kita!" Kata ayah dalam senyuman tenang.

Adik terkejut dan kerut kening pandang ayah. Adik garu kepala. Kepala adik penuh tanda tanya - betulkah ini bukan tahun baru kita?

Adik lihat jiran rumah sebelah kanan adik pada malam tahun baru, buat jamuan besar-besaran. Begitu juga jiran sebelah kiri adik buat pertandingan karaoke. Jiran depan rumah adik pula buat sukaneka dan pertandingan pakaian beragam.

Tidak cukup dengan itu, adik lihat di mana-mana sahaja ada ucapan selamat tahun baru. Di pasaraya, di pejabat, dalam majalah, dalam akhbar, semua orang ucapkan selamat tahun baru. Semua orang nak pasang azam baru. Semua orang sorot semula sejarah sepanjang setahun yang lalu. Dalam televisyen pula, adik tengok meriah benar. Ada konsert, ada nyanyian, ada iklan, macam-macam ada.

Adik lekas-lekas tanya ayah : kenapa kata ini bukan tahun baru kita?

Ayah tersenyum lagi. Tenang sahaja ayah menjawab : kita umat Islam ada tahun baru kita sendiri. Tahun kita dikenali sebagai Tahun Hijrah. Adik pernah dengar Awal Muharam atau Maal Hijrah?

Adik angguk.

Image hosted by Photobucket.com

Ayah berkata lagi : itulah tahun baru kita sebagai umat Rasulullah. Mengingati, mengiktibari dan mencontohi sejarah hijrah dan pengorbanan kekasih kita Rasulullah.

Adik angguk lagi. Kemudian adik bertanya ayah lagi : habis, kenapa orang sambut tahun baru semalam meriah-meriah?

Ayah usap kepala adik dan menjawab : silapnya kita dik, bila sambut tahun baru semalam macam nak bergegar bumi, tapi bila tibanya Awal Muharam semua buat macam tak endah. Patutnya bila tibanya Maal Hijrahlah kita bersungguh, kita berdoa dan berazam untuk berhijrah dari keburukan kepada kebaikan.

Ayah hela nafas dan mengucup pula kepala adik kemudian menyambung kata : adik tak macam tu, kan? Ayah tahu, anak ayah sayang nabi dan para sahabat baginda, kan?

Adik angguk dan ada seulas senyuman terbentuk di bibir adik. Senyuman kepuasan, senyuman kecintaan.

AKO : Sedang menikmati Wi & Wiliam, Azizi Hj. Abdullah.

Leave a comment

Katakan pada cinta

Dia hanya seorang gadis yang pernah berkata pada cinta : jangan datang kepadaku, kau akan membebankan, menggelisahkan, menyangsikan, mengghairahkan.

Dan dia melarikan diri dari cinta, sehingga beberapa kali cinta datang kepadanya merayu, mendamba dan memuji.

Dia tegar mempertahankan prinsip - katakan 'tidak' pada cinta.

Dia menyalahkan cinta, kerana cintalah ramai yang peranda, ramai yang nestapa dan ramai yang durjana. Dia meletakkan semua pundak kesalahan pada cinta.

Image hosted by Photobucket.com

Dan cinta masih begitu. Masih tulus, suci, indah dan berseri. Cinta memang begitu, akan terus merayu, mendamba dan memuji. Kerana Tuhan telah menciptakan Adam, untuk mencintai, melindungi, membajai. Kerana Tuhan telah menciptakan Hawa, untuk dicintai, dilindungi, dibajai.

Akhirnya, dia terjelepok jatuh di hadapan cinta. Prinsipnya lebur, hatinya akur. Dia menerima cinta dari tangan seorang pemuda, yang sudi memimpinnya ke gerbang perkahwinan.

Dan pertama kali dia mengenali cinta, cinta yang bukan hanya membebankan, menggelisahkan, menyangsikan, mengghairahkan. Tetapi dia mengenali yang cinta itu juga mendamaikan, menenangkan, melindungkan, membahagiakan.

Dua hari sebelum ke gerbang perkahwinan, takdir Rabbul Jalil menentukan. Pemuda yang memberikannya cinta, cinta yang tulus, suci, murni dan berseri, telah dijemput bertemu Ilahi. Dia dipanggil dengan aman dan sentosa setelah memimpinnya mengenali keluhuran cinta.

Cintanya masih begitu, tulus, suci, indah dan berseri. Cintanya memang begitu, terus merayu, mendamba dan memuji.

Hari pengebumian si pemuda yang memberikannya cinta, saat talkin dan doa dibacakan, buat pertama kalinya dalam linangan air mata, dia telah mengenali dua cinta. Cinta yang datang pergi dan cinta yang kekal abadi.

Detik itu juga, dia nekad mahu berusaha memiliki cinta yang kekal abadi. Cinta yang tiada galang ganti. Cinta yang hakiki.

Ya, selepas ini dia akan mengatakan 'ya' pada cinta.

Leave a comment

Reseptif

Apakah jawapan dan perasaan anda bila dikritik?

1] Antara jawapan paling popular : cubalah kau jadi macam aku, berada kat tempat aku.

2] Jawapan favourite lain : cakap senanglah!

3] Jawapan sumbang : kau memang tak hargai kawan!

Perasaan yang bergelodak dalam jiwa orang yang dikritik :

1] Mencari kesilapan kritikus sampai ke lubang cacing; sehalus-halusnya.

Dialog hati : tunggulah kau!

2] Tidak mempedulikan kritikan.

Dialog yang sebolehnya mahu dilemparkan kepada si kritikus : lantaklah, mind your own business!

4] Mengumpat di belakang.

Dialog popular : dia tu tak boleh tengok orang senang. Dengki!

5] Tak puas hati sentiasa.

Dialog glamor : aku memang tak bolehlah tengok muka dia tu.

Marilah kita bersama-sama belajar menerima kritikan yang membina. Bukankah Saidina Umar juga pernah meminta rakyat jelatanya mengkritik atau menegur kesalahannya?

Sebagai manusia biasa, kesilapan itu mesti kerana kita hanya berstatus hamba-Nya. Bersama merubah mentaliti menjadi insan yang reseptif!

AKO : Aduh, Melayu. :D

Leave a comment

Kerana kau mendekatiku, aku mendekati-Mu

Ketika kau mendekatiku
sedang hatiku duka dan pilu
kau hembuskan kata ria,

Ketika kau mendekatiku
sedang hatiku sendu dan keliru
kau bisikkan kata cinta,

Image hosted by Photobucket.com

Ketika kau mendekatiku
sedang hatiku cinta dan rindu
kau berikan kata dusta,

Ketika kau mendekatiku
sedang hatiku berbusa harapan
kau nyatakan benci dan sesal.

ii.

Ketika aku mendekati-Mu
dalam duka dan pilu
Kau berikan ria dan ketenangan,

Ketika aku mendekati-Mu
dalam galau dan sendu
Kau lorongkan jalan pasti,

Image hosted by Photobucket.com

Ketika aku mendekati-Mu
dalam cinta dan rindu
Kau turunkan ujian dan rahmat,

Ketika aku mendekati-Mu
dalam harapan dan doa
Kau sediakan tempat
untukku di syurga.

Amiza Khusyri Yusof, 15 Disember 2005, Seremban.

AKO : Sedang membaca Surat-surat Perempuan Johor, Faisal Tehrani.

Leave a comment

Yang manis-manis

Yang manis-manis sahaja. Yang manis-manis itu ramai orang suka, tetapi ramai pula orang lupa, hakikatnya yang manis-manis itu hanya dapat dinikmati setelah menelan yang pahit-pahit. Seperti nenek yang telan ubat pahit-pahit, akhirnya nenek sihat dan dapat nikmati hidup yang manis-manis. Dapat tatap muka cucu yang manis-manis.

Tuhan beri kita yang pahit-pahit, yang sekiranya kita reda menelan, Dia sudah sediakan pula yang manis-manis. Oh, barangkali ada yang berkata, sepanjang hidupnya, Tuhan tidak pernah beri yang manis-manis, Tuhan beri yang pahit-pahit sahaja. Jangan lupa, Tuhan telah pilih kita hidup dalam Islam dan sebenarnya sudah lama sediakan untuk kita yang manis-manis. Yang manis-manis itu maksudnya, dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai yang bagaimana, tidak dapat diterjah oleh akal fikir hamba-Nya. Bukankah sebenarnya, Tuhan beri yang pahit-pahit supaya kita tahu di manakah kedudukan iman?

Tuhan telah beri saya yang manis-manis sekarang, kerana mungkin saya sudah telan yang pahit-pahit dahulu. Namun, saya tidaklah boleh leka dengan yang manis-manis ini, kerana bila-bila masa sahaja Tuhan boleh beri yang pahit-pahit pula. Ya, saya perlu sentiasa bersedia.

ii.

Saya rasa yang manis-manis, pada malam Anugerah Sastera Negeri Sembilan, 18 November lalu. Saya rasa yang manis-manis bila menerima hadiah itu dan tidak sangka layak menerimanya. Saya tidak sangka, dengan hasrat saja cuba-cuba, cerpen Salju Jabal Musa itu boleh menang juga.

Saya rasa yang manis-manis dalam waspada meskipun serasa sayalah penerima yang paling muda pada malam itu. Saya rasa yang manis-manis bila dapat bersemuka dengan tokoh-tokoh penulisan terkemuka. Saya jumpa Nisah Hj. Haron yang bajunya bergemerlapan dalam senyum ceria. Saya ketemu Dr. Amida Abdul Hamid [Anis] yang kekal mesra seperti pertemuan dahulu juga. Saya tegur si pengantin baru Siti Jasmina Ibrahim yang didampingi ibubapanya. Saya sapa Puan Mahaya Mohd. Yassin, yang matanya kelihatan berkaca. Saya berkenalan dengan Puan Nor Azah Abd. Aziz, yang tersenyum manis di sisi suaminya. Saya bersua dengan penulis-penulis veteran yang telah banyak berjasa.

Saya rasa yang manis-manis, tanpa lupa melafazkan syukur kerana masih diberi kesempatan oleh Rabbul Jalil merasai yang manis-manis itu. Alhamdulillah.

iii.

Masih yang manis-manis dalam bengkel cerpen PEN 20 November lalu. Masih yang manis-manis seperti manisnya Mawar Shafei yang sempat datang bermuzakarah dengan baju kurung merahnya. Masih yang manis-manis bila ketemu semula dengan rakan penulis lama dan yang baru juga.

Saya jumpa Serunai Faqir yang masih seperti dahulu kekal mesra dan ceria. Ketemu Khairunnasriah dengan kehebatan cerita berbumbukan sejarah dalam karya Sungai Goloknya. Begitu juga Salha dengan cerpen Jelebak Jelebunya. Apatah melihatkan semangat peserta-peserta yang sanggup datang meluangkan masa demi muzakarah ilmu yang bermanfaat. Masih yang manis-manis, kerana saya perlu mencontohi semangat mereka.

Sehingga kini, masih yang manis-manis. Dan sebenarnya, indahkah hidup, jika kita hanya merasa yang manis-manis?

Leave a comment

Eid Mubarak : Kullu A'am Wa Antum Bikhair

Salam Aidilfitri dan maaf zahir & batin untuk hati yang terguris, tinta yang cuai, kata yang menyakitkan dan maklumat yang tersalah, buat semua pengunjung AKO. Semoga lebaran akan terus menjadi koreksi untuk perubahan diri, pembangunan rohani, silturrahim dan ketakwaan kepada yang Esa, setelah menerima tarbiah dalam madrasah Ramadan. Selamat kembali kepada fitrah dan moga terus istiqamah!

Image hosted by Photobucket.com
Minal Aidil Wal Faizin,
Amiza Khusyri dan keluarga, Seremban.

Leave a comment

Kembara ke Ogonshoto

Rasa-rasanya hampir seminggu juga engkau telah mengembara ke kepulauan Ogonshoto. Engkau bagai melihat gunung berapi Gora-gora, Futu-Ata dan Rai-Rapa muncul megah keemas-emasan di atas banjaran masing-masing. Gunung-gunung itu berona sebam dilitupi habuk dan debu-debu putih kelabu. Itulah lambang kemegahan tiga buah pulau di kepulauan Ogonshoto.

Engkau memulakan penjelajahan dengan naratif raksasa besi Kawai Maru milik Tuan Kawai itu. Takjublah engkau dengan gerak penjelajahan bahasa Anwar Ridhwan ini, sehingga engkau merasakan seperti betul-betul berdiri dan berjalan di atas raksasa besi waja yang terapung-apung meredah batang-batang gelombang itu.

Sepanjang kembara engkau ke kepulauan Ogonshoto ini, engkau tidak perasan yang mukamu juga berubah-ubah mengikut perasaan dan rasa hatimu ketika itu. Sebentar mencemik, sebentar tersenyum, sebentar engkau mengerut kening pula. Sehingga tahulah engkau yang kembaramu ke kepulauan Ogonshoto ini sarat dengan perlambangan dan kritikan waima kepada dirimu sendiri atau terhadap pencekcokan kuasa, pahit maung kehidupan, tulus mulus kasih sayang, kepesatan teknologi, kebudayaan, dan lain-lain lagi. Apa yang pasti ialah penjelajahan ini telah acap kali mencabar akal fikirmu, menajamkan tumpuanmu dan menikam lenamu.

Penjelajahan engkau acap kali juga terganggu, kerana engkau perlu memberi masa kepada Ramadan yang tidak selalu muncul. Malah, engkau juga merasakan penjelajahanmu ke kepulauan Ogonshoto dalam bulan Ramadan ini bukanlah sebuah kembara yang tidak bermanfaat, tetapi sebuah penjelajahan dan kembara yang penuh emosi, sarat perlambangan, penuh iktibar dan begitu mengesankan jiwamu.

Ketika engkau menulis entri ini untuk dikongsi dengan para pembacamu, engkau jadi gusar dan gentar juga jika ada yang bertanyamu - di manakah duduk letaknya Ogonshoto?

Tetapi engkau tenangkan hati kerana sebenarnya di mindamu sudah pun ada jawapannya. Ya, Ogonshoto sudah tidak wujud kerana telah dibaham tsunami berpuluh-puluh tahun yang lampau.

Kini, hanya tinggal sebuah buku yang berjudul Naratif Ogonshoto karya Anwar Ridhwan itu. Jika pembacamu tidak mahu ketinggalan, dan mahu berkongsi cerita dengan engkau lewat dunia Ogonshoto, maka engkau mengharapkan yang pembacamu akan membeli-baca Naratif Ogonshoto karya agung Anwar Ridhwan yang hebat itu.

Engkau mengharapkan agar mereka akan mendapat seribu iktibar, sebagaimana kemanisan yang telah engkau perolehi, sekembali dari kembaramu ke Ogonshoto.

AKO : Salam Lailatul Qadr kepada semua pengunjung AKO.

Leave a comment

Cinta daerah Menoufia [Berita Minggu, 16 Oktober 2005]

Ramai juga di kalangan orang-orang Arab yang mengutuk dan menghina kota Menoufia. Kata mereka, kota ini kota miskin, kota pertanian, kota yang ramai melahirkan pencuri-pencuri di Kaherah, ataupun orang-orangnya bakhil belaka. Hati saya terus-terus menidakkan kata-kata itu, kerana saya pernah bergaul dengan orang-orang Menoufia. Terus-terang saya katakan, mereka lebih ramah dan menghormati orang asing berbanding orang-orang Arab di kota Kaherah. Hati saya terus menafikan, sehingga wujud segumpal resah di dada. Dan ini juga menjadi garis permulaan kepada hasrat untuk menulis cerpen Cinta daerah Menoufia ini.

Ketika pulang dari pekan Shibin El-Kom ke kota Kaherah pada suatu malam, saya memilih untuk berjalan kaki sejauh lebih kurang 2 kilometer ke stesen bas. Sebenarnya hasrat untuk menulis cerpen berlatar kota Menoufia ini sudah datang lama, tetapi terhambat dek kerja-kerja menyiapkan sebuah manuskrip penulisan. Namun, saya lekas-lekas teringat akan pesanan Pak Shahnon Ahmad agar menulis sesuatu yang mesra dengan diri. Dan saya lekas-lekas sedar bahawa pada ketika itu saya sedang bermesra dengan latar Menoufia yang tenteram dengan tiupan semilir dingin penghujung musim panasnya.

Malam itu, perjalanan saya tersangkak-sangkak, bukan disebabkan keletihan, atau terganggu dengan apa juga bentuk gangguan, tetapi kerana saya benar-benar ingin memesrai latar Menoufia. Sesekali saya duduk di atas bangku kayu, ataupun bingkas melempar pandang ke arah ladang yang melaut di tepi jalan. Juga kekadang pandangan beralih melihat Nil yang tekal mengalir sambil mengamati elusan semilirnya.

Keesokannya, saya dikunjungi seorang rakan, Ruzaimi namanya. Seorang mahasiswa yang agak lama juga bermukim di bumi Menoufia, menceritakan sedikit demi sedikit perkara-perkara menarik yang terdapat di kota itu setelah saya memaklumkan kepadanya yang saya ingin menulis cerpen tentang Shibin El-Kom dan Menoufianya. Dia seorang peminat syair, dan kerap menghafal syair-syair Arab. Saya jadi tertarik mendengar syair-syiar yang dihafalnya itu dan ini akhirnya menjadi titik tolak kepada pengilhaman cerpen ini.

Meskipun syair-syair yang saya cipta lewat cerpen ini agak mudah, malah cerpen ini sendiri juga sebuah cereka yang mudah, tetapi saya tetap puas. Puas kerana selama ini sering resah melihat anak bangsa terlalu mengagung-agungkan orang lain, tanpa sedikit pun berbangga dan mencintai jati diri. Semoga cerpen yang 'mudah' ini akan 'mudah' jugalah meresap ke hati pembacanya. Insya-Allah.

Terima kasih buat editor Berita Minggu di atas penyiaran cerpen ini pada 16 Oktober 2005 lalu. Syukur Alhamdulillah, di atas kurnia-Nya sempena Ramadan.

Ya, pemuda yang berjambang dan berjanggut panjang santak ke pangkal dada, berserban dan berjubah putih itu ialah cinta. Cinta daerah Menoufia!

AKO : Masih membaca Naratif Ogonshoto, Anwar Ridhwan, sambil menikmati kelazatan beribadah dalam period maghfirah Ramadan.

Leave a comment

Rahmat yang berlalu

Pabila hujan turun
dan berhenti
mengingatkan daku
kepada masa
yang sentiasa berlari.

Pabila hujan turun
dan berhenti
mengingatkan daku
kepada dosa
yang hitam di hati.

Aku menangis
dalam sujud panjang
dinihari
kerana
pabila hujan turun
dan berhenti
mengingatkan daku
kepada rahmat Ramadan
yang berlalu pergi.

Amiza Khusyri, 14 Oktober 2005, Seremban.

ii.

Profil di Tunas Cipta, Oktober : Apresiasi buat Zaid Akhtar

Apabila menerima undangan untuk ditemuramah oleh Zaid Akhtar sekitar sebulan yang lalu untuk profil Tunas Cipta, saya berkata : saya masih belum ada pencapaian yang membanggakan.

Apalah yang ada pada saya hanya dengan menulis dan menghantar karya, mencintai sastera Melayu dan dengan pencapaian yang sekerdil ini. Tambahan pula apabila ditanya tentang Sejernih Salsabila, saya terkerisin dengan lompang-lompang yang terdapat lewat novelet itu. Saya terasa bagaikan menaiki sampan seorang diri dan sampan itu beroleng-oleng di permukaan mengikut perjalanan arus. Serasa mahu terjun menyelamatkan diri, tetapi tidak mampu kerana tidak pandai berenang.

Apa yang perlu saya lakukan?

Saya kemudian tertegun menerima balasan Sistem Pesanan Ringkas [SMS] daripada Zaid Akhtar dengan katanya : habis tu? Nak apa lagi?

Lantas mengingat saya, supaya sentiasa bersyukur dengan apa yang saya miliki. Bersyukur dengan anugerah bakat yang Tuhan kurniakan kepada diri. Alhamdulillah. Saya semacam faham akan maksudnya, barangkali dia menyuruh saya supaya jangan terlalu merendah diri.

Terima kasih kanda Mohd. Yazid [Zaid Akhtar], untuk esei profil saya di Tunas Cipta, Oktober.

AKO : Selamat menjalani ibadah puasa buat semua pengunjung AKO. Sedang membaca Naratif Ogonshoto, Anwar Ridhwan.

Leave a comment

Mari mendakapku, Ramadan

Duhai Ramadan

Kau tidak pernah pergi dari jiwaku

Kau tidak pernah hilang dalam hatiku

Kau tidak pernah mati sepanjang hayatku.


Amiza Khusyri, 5 Oktober 2005, Seremban.

Leave a comment

Kiamat Sudah Dekat : Sebuah Introspeksi

Seingat saya, pertama kali saya menonton filem ini ialah pada tahun lalu di Kaherah, Mesir. Ramai rakan-rakan yang berpendapat bahawa awalan babak filem ini agak lembab dan kurang menguja. Kemudian sebaik sahaja sampai kepada babak Fandy berkenalan Saprol dan bertemu Sarah, cerita ini sudah mula memperlihatkan keterujaannya.


Image hosted by Photobucket.com

Apapun bagi saya, Kiamat Sudah Dekat bukan sekadar sebuah filem, tetapi ia lebih kepada sebuah layar introspeksi dan muhasabah kepada umat Islam. Filem arahan Deddy Mizwar ini memperlihatkan sebuah dimensi baharu kepada persepsi dan mentaliti umat Islam yang selama ini selalu menanggapi keelokan itu hanya melalui zahir. Bahkan juga mengkritik sekian ramai umat Islam yang Islamnya hanya pada kad pengenalan dan nama.

Filem ini mengisahkan mengenai seorang rocker bernama Fandy yang bibit-bibit pertemuannya dengan Sarah bermula apabila sepatu rocknya dicuri oleh Saprol, seorang budak lelaki yatim. Saprol akhirnya menjadi rakan baiknya yang juga berperanan sebagai guru solat dan mengaji. Dia bertemu dengan Hj. Romli di musolla dan bapa kepada Sarah itu mengenakan beberapa syarat untuk dia menikahi anaknya. Ternyata Fandy amat jahil agama apabila dia tidak tahu untuk membezakan di antara sudah berkhatan atau belum iaitu sebagai syarat pertama yang dikenakan. Kemudian Fandy dikenakan pula syarat agar belajar solat dan mengaji Al-Quran.

Image hosted by Photobucket.com

Di sinilah kelihatan kebijaksanaan pengarah menggarap jalan cerita melalui kesungguhan Fandy memenuhi syarat itu satu persatu, kelucuan Saprol, hidayah untuk keluarga Fandy yang juga jahil agama dan kemunculan Farid yang kuliahnya di Cairo itu. Sarah akhirnya dilamun cinta dengan bunga mawar merah yang dihadiahkan Fandy setiap kali dia berjaya memenuhi syarat itu. Fandy yang asalnya beribadat demi untuk menikahi Sarah, akhirnya menemui apa yang dinamakan sebagai ikhlas semata-mata kerana Allah dan Rasul-Nya.

Filem ini bukan sahaja mengkritik orang agama yang talam dua muka dan orang Islam yang hanya Islam pada nama, tetapi juga membuka pintu dakwah kepada remaja yang cenderung dicengkam enigma duniawi. Yang pasti, elemen cinta itulah yang menjadikan filem ini menarik untuk ditonton dengan diakhiri langgam pembalikan persepsi apabila Hj. Romli menyedari Fandy telah berjaya menguasai ilmu ikhlas sebagai syarat terakhir yang dikenakannya untuk menikahi Sarah.

Filem ini bukan sekadar hiburan tetapi juga bak kata Fandy - kiamat sudah dekat, men!

Leave a comment

Darurat Jerebu

Darurat jerebu hari ini diisytiharkan bagi seluruh kawasan Kuala Selangor dan Pelabuhan Klang berkuat kuasa serta-merta.

Indeks Pencemaran Udara [IPU] pada pukul 11 pagi ini :

Kuala Selangor : 531
Pelabuhan Klang : 529


Image hosted by Photobucket.com

Antara langkah yang diambil :

> Mengeluarkan perintah penutupan semua pejabat sama ada kerajaan dan swasta dan lain-lain tempat bekerja termasuk kilang, ladang, pembinaan dan kuari.

> Menentukan semua sekolah ditutup.

> Menasihatkan pengurangan penggunaan kenderaan persendirian terutama kenderaan berat seperti lori.

> Menentukan pemberhentian kerja-kerja tanah dan pemindahan tanah.

> Menentukan penyebaran maklumat Indeks Pencemaran kepada pihak media cetak dan elektronik dibuat seberapa kerap; dan

> Penguatkuasaan pengharaman pembakaran secara terbuka terus dikuatkuasakan.

Langkah penutupan yang dikuatkuasa itu tidak melibatkan :

> Kedai-kedai yang menjual barang-barang makanan dan minuman, pasar dan pasar raya;

> Klinik, farmasi dan kedai-kedai ubat; dan,

> Perkhidmatan-perkhidmatan perlu.

Sumber : Utusan Malaysia.

Memo AKO :

Dinasihatkan juga kepada perokok-perokok supaya mengambil kesempatan ini untuk berusaha berhenti merokok. Bayangkan sahaja dalam keadaan jerebu ini, anda merokok di sebelah orang yang tidak merokok, maka pengisytiharan darurat pasti akan menular pula ke seluruh negeri.

Sekian dimaklumkan.

AKO : Untuk perokok- perokok yang tiada hormat.

Leave a comment

Naratif Introspeksi I

Saya berjalan kaki sejauh 2 kilometer menyusuri jalan tar ke arah pantai. Ingin menakjubi keindahan ciptaan Tuhan menyaksikan matahari terbenam. Sungguh indah menyaksikan cahaya kemerahan-merahan tumpah di permukaan laut. Apatah kala dielus semilir laut yang dingin dan resah.

Perjalanan petang itu terasa nyaman. Melewati sebuah denai kampung yang sentosa dengan pohon kelapa terlempai-lempai berjajaran di sepanjang jalan. Di hadapan, ada sebuah rumah yang papannya sudah compang-camping.

Dari jauh, saya mengamati rumah papan itu. Di hadapan rumah, di atas anak tangga, ada kelibat seorang tua sedang duduk. Saya mempercepatkan langkah dan berhenti di hadapan orang tua yang berkopiah lusuh itu.

Saya terkejut apabila mendapati dia sedang menangis teresak-esak. Kepalanya tertunduk menekur bumi.

"Pakcik." Saya memberanikan diri menegur.

"Kenapa pakcik menangis?"

Orang tua itu menggeleng. Dia menangis seperti sedang meratap. Hati mula berasa tidak enak.

"Pakcik menangis kerana tinggal seorang diri?" Dia menggeleng. Bunyi esaknya reda.

Tiba-tiba dia mengangkat muka. Wajahnya persih dan ada janggut putih lebat di dagu.

"Di kubur nanti pun pakcik seorang diri. Pakcik tak kisah tinggal seorang." Suaranya terketar-ketar.

"Jadi?" Saya kembali bertanya. Agak mendesak nada saya itu.

"Umat Islam sedang keliru." Dia melempar pandang ke hadapan. Air matanya meleleh ke dagu, dan terus melurut ke janggutnya.

"Keliru?"

Dia mengangguk.

"Pakcik menangis sebab umat Islam sedang sibuk cari idola baru, sedang ralit cari contoh tauladan baru!"

Dia kembali menangis dan tunduk menekur bumi.

"Mereka lupa yang kita sudah ada Rasulullah, kita sudah ada kitab Allah!" Katanya dalam sedu-sedan.

Ya Rabbi. Sungguh! Saya juga bagaikan mahu menangis waktu itu!

Leave a comment

Ilham Pengilham

"Siapakah yang tahu! Kerana demikianlah rahsia alam kreativiti. Yang kreatif tidak dapat mencapai objektifnya tetapi objektif itu ditanggapi pula oleh yang menilai karya itu, kerana daya kreatif yang menilai terbukti lebih tajam dan lebih sensitif daripada daya kreatif yang mencipta."

Sungai dan Serampang Bermata Tiga, Shahnon Ahmad, Dewan Sastera, Julai 2005.

Image hosted by Photobucket.com

MENJENGUK SEJENAK SALJU JABAL MUSA DARI SUDUT PERSPEKTIF CULTURAL STUDIES

Oleh Mohamad Daud Mohamad [DBP]

Cerpen "Salju Jabal Musa" karya Amiza Khusyri yang menampilkan pertembungan dua budaya dan dua agama melalui watak Maria dan Umar, diolah dengan bahasa yang indah dan kontinuiti idea yang mengalir sesejuk salju. Pemilihan nama watak juga sangat menarik. Watak Maria menurut pemahaman penganut agama Kristian adalah nama ibu Jesus Kristus yang sangat dimuliakan. Oleh sebab itu, patung Maria menjadi lambang di setiap gereja dan diletakkan dekat mimbar sebagai makna penyatuan umat Kristian. Manakala pemilihan watak Umar merupakan tokoh Khalifah Islam yang kedua, yang menjadi penentu penyatuan dan hala tuju Islam sesudah wafatnya Rasulallah.

Dengan dipertemukan kedua-dua watak ini di Jabal Musa, penampakkan akan kejelian pengarang membaca elemen agama, sejarah dan budaya melalui konteks keilmuan bukan imaginasi. Pengarang juga mengenengahkan akan sikap sebahagian umat Islam yang berbangga dengan kebudayaan Kristian dan mengikut serta mengamalkan budaya hidup orang Kristian yang ternyata merugikan diri mereka sendiri. Sebab, keindahan budaya hidup dan kebudayaan Islam jauh lebih baik dan malah membawa mereka ke arah cahaya kehidupan yang lebih bermakna. Dalam ajaran Islam semuanya sudah lengkap baik dari segi keindahan bahasanya, cara berpakaiannya, cara makan, cara bercakap, cara bergaul, cara bermesyuarah, cara beribadah, cara belajar, dan apa saja yang wujud dalam dunia realiti.

Menyedari akan keindahan Islam dan ketenangan hidup serta pengisian jiwa yang sumul, menarik Maria untuk menghayati Islam. Bagi Maria, dalam Islam antara teori dan praktikal berjalan seiring. Dalam ajaran Kristian, semuanya ditentukan oleh Paderi. Sedangkan dalam ajaran agama Islam ditentukan oleh diri sendiri dan ditanggung oleh diri sendiri. Keinsafan dan ketenangan Maria untuk menghayati Islam inilah Salju Jabal Musa dan secara simbolisnya dikaitkan dengan pertemuan dengan Umar. Umar hanya sebagai katalis untuk Maria meninggalkan ajaran Kristian dan memeluk agama Islam. Keistimewaan cerpen ini iaitu pengarang tidak mengolah 'cinta' muda-mudi sebagai asas perhubungan Maria-Umar, tetapi atas keinsafan dan ketenangan diri. Cerpen ini tidak diadunkan dalam bentuk penulisan cerpen konvensional, tetapi memasuki bentuk penulisan cerpen pemikiran yang cukup matang dan mantap. Cerpen ini bukan tergolong cerpen remaja, tetapi merupakan cerpen yang cukup dewasa.

Demikian juga dengan cerpen Amiza "Pengemis Tua Di Masjid Hussein", yang menampilkan tentang seorang tua bekas wira pejuang yang berjuang di bumi Palestin menentang rejim Nasrani dan Yahudi. Persoalan yang cukup menarik dalam cerpen ini, bukan tentang perjuangan dan mati syahid. Tetapi tentang pertemuan watak 'aku' dengan tokoh pejuang di Masjid Hussein. Hussein adalah adik kandung kepada Hassan anakanda kepada Saidina Ali [Khalifah Islam yang ke-4] dan Siti Fatimah [anakanda Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW]. Hassan dan Hussein adalah cucunda Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW yang terbunuh di Karbala. Pertemuan ini, dalam konteks kebiasaan tidak lebih daripada pertemuan biasa seorang pengunjung masjid dengan seorang pengemis. Namun, pertemuan dalam cerpen ini memiliki mesej yang sangat besar maknanya bukan sahaja bagi penulis, tetapi juga bagi pembaca.

Secara psikis, pertemuan ini membawa makna dan pemaknaan keinsafan iaitu seorang manusia yang menadahkan tangan dan berpakaian kumal belum tentu ia seorang pengemis yang hina. Malah dia ternyata lebih mulia dan suci daripada kita yang berpakaian kemas dan nampak gagah. Sebab yang kita tampak hanyalah elemen fizikaliah. Sedangkan rohaniah kita tidak nampak. Melalui cerpen ini pengarang membuka kedua-dua dunia fizikaliah dan rohaniah. Dengan membuka minda secara terbuka barulah kita akan dapat melihat dunia realiti sebenar. Jesteru kebesaran Allah SWT hanya tercermin dan terserlah tanpa kita sedar, ia akan hadir tanpa kita duga. Perancangan kita kadangkala tersasar, tetapi perancangan Allah SWT adalah nyata. Cerpen berunsur Islam "Pengemis Tua Di Masjid Hussein" ini sangat menarik dan berkesan kerana pengarang dapat mengolah secara bersahaja dan cara pengarang mengkritik masyarakat Islam juga sangat bijaksana.

Cerpen berunsur Islam yang ketiga Amiza Khusyri bertajuk "Cahaya Zulmat". Cerpen ini menekankan akan pentingnya kita menguasai bahasa Arab yang dipilih oleh Allah SWT sebagai bahasa Al-Quran. Melalui cerpen yang agak sederhana subjeknya ini mampu diolah dengan cukup baik oleh pengarangnya. Bahasa sebagai cermin bangsa dan sekaligus agama tidak boleh dinafikan. Kita harus akui menguasai bahasa Arab kita tidak hanya bergantung kepada penafsiran makna Al-Quran secara harafiah tetapi lebih jauh daripada itu dari segi maknanya. Setiap orang yang belajar membaca Al-Quran boleh membaca Al-Quran, tetapi tidak menguasai intipati Al-Quran kerana tidak menguasai bahasa Arab, bahasa tipa-induk Al-Quran. Jesteru itu, sebagai umat Islam sewajarnya menguasai bahasa Arab, jika kita ingin menjelajah lebih jauh dan dalam tentang Al-Quran serta ilmu yang terkandung di dalamnya.

*Petikan Kertas Kerja sempena Program Bicara Karya & Malam Baca Puisi eSastera.com, di Hotel Perdana, Kota Bharu, Kelantan pada 10 Jun 2005 anjuran eSastera.com, Kerajaan Negeri Kelantan dan Dewan Bahasa & Pustaka.

AKO : Maha Suci Allah yang memberi ilham! Dapatkan antologi cerpen ini segera!

Leave a comment

Advencer Si Peniup Ney : Sastera Tarbiah buat Remaja Islam

Setelah tampil dengan novel 1515 pada 2002 seterusnya dengan 1511H [Kombat] pada 2003 dan pada tahun ini Faisal Tehrani tampil pula dengan Advencer Si Peniup Ney dan menghambat sekaligus hadiah kedua HSKU dengan novel Detektif Indigo.

Pencapaian mengagumkan ini membuatkan hati berkata - wow - meskipun mungkin bagi pengarang menggarap sebuah novel umpama 'makan kacang'.


Image hosted by Photobucket.com

Bagi saya, novel ini bukan sekadar sebuah hikayat tetapi ia juga sebuah satira yang mencuit hati. Setelah kejayaan Cik Siti Mustika dalam HSPM, maka sudah tentulah tidak menjadi masalah bagi Faisal Tehrani menggunakan kekuatan bahasa dan ketajaman kreativitinya dalam menggarap kisah advencer ustaz muda - Sulaiman Hilmi ke alam jin ini meskipun advencer ini bukanlah sesuatu yang mustahil boleh berlaku.

Kepekaan pengarang melihat di celah-celah kebobrokan akhlak dan zaman kolonial hedonisme yang menghantui generasi kini perlu dicontohi oleh setiap individu tidak kira siapa pun. 'Sastera Tarbiah' yang diperkenalkan beliau ini mewujudkan sebuah lembaran baru dalam dunia kepengarangan kreatif. Inilah yang menyebabkan beliau bertaraf selebriti di kalangan penulis dengan kelantangan suaranya yang penuh kobar sebagai seorang penulis muda.

Meskipun karya Faisal kali ini saya anggap sebagai 'mesra remaja' berbanding dengan karya-karyanya yang lalu, tetapi beliau juga membentangkan sebuah pemikiran kepada semua penulis Islam yang bertanggungjawab mencorak minda generasi Muslim dengan kesedaran untuk menjulang semula maruah Islam.

Berbeza dengan 1511H [Kombat] karya advencer Ustaz Sulaiman Hilmi kali ini menyelonong ke alam tasawuf dengan menggagaskan langgam dakwah yang sesuai, relevan dan meyakinkan. Karya ini menjadikan muzik souti sarmad sebagai wasilah untuk sampai ke tahap wajd, mujarad dari segala macam unsur duniawi.

Bahkan melalui bab 10, Faisal juga mengingatkan agar remaja tidak terperangkap dengan jurang generasi dan perlunya golongan tua menegur golongan muda. Remaja selalu ghairah mengejar sesuatu sehingga silap perkiraan.

Seawal membaca novel ini, saya bagai tenggelam ke dalam sebuah hikayat. Tidak lama kemudian mula menutup mulut, menahan geli hati kala membaca bab 5 ke 13. Anda mesti tahu siapa yang dimaksudkan pengarang dengan watak-watak jin tersebut.

Inilah sebuah karya 'Sastera Tarbiah' buat remaja Islam. Perang ke atas hedonisme itu perlu sentiasa wujud dalam diri, terutama kepada generasi pewaris. Kita usaha dengan apa sahaja wasilah yang ada, kita pohon pada Tuhan dan kita tawakal kerana itulah sebaik-sebaik jalan.

AKO : Advencer Si Peniup Ney ini boleh dibeli melalui www.ujanailmu.com.my dengan penghantaran yang cepat dan selamat. Kini sedang menikmati Detektif Indigo, Faisal Tehrani.

Leave a comment

Izinkan Adik

Ibu,

Dulu, adik bercita-cita menjadi seperti ibu, yang sopan menjaga kehormatan dan maruah diri. Adik mahu menjadi seperti ibu, yang lembut budi pekerti dan pemalu, kerana itulah permata dan mahkota bernilai bagi seorang wanita.

Ayah,

Dulu, adik mengidolakan ayah. Adik menyanjungi peribadi ayah, ketegasan dan takwa ayah kepada Allah. Adik selalu mendengar ayah berzikir dan beratib. Ayah selalu mendoakan kejayaan adik dunia dan akhirat. Adik bercita-cita memiliki pekertimu, ayah.

Ayah dan ibu,

Kini adik rasa, adik mahu menjadi penyanyi. Adik mahu mengharumkan tanah air dengan hiburan dan nyanyian yang enak-enak.

Izinkan adik, ayah. Izinkan adik, ibu. Izinkan adik untuk menjadi seorang bintang. Izinkan adik untuk menjadi penyanyi tersohor tanah air. Memperkenalkan Malaysia ke mata dunia. Membanggakan seluruh rakyat Malaysia dengan suara nyanyian adik yang merdu.

Banyak benar, ayah. Banyak benar, ibu. Banyak benar peluang dibuka untuk menyertai bidang seni suara kini. Adik tak mahu lepaskan peluang. Kalau tidak adik rugi.

Jangan runsing, ayah. Adik akan rajin baca Quran dan menjadi juara tilawah. Adik dengar dari kawan-kawan, orang yang rajin bertilawah, suaranya sedap, suaranya langsing, dan boleh menyanyi dengan nada tinggi.

Jangan bimbang, ibu. Adik akan menutup aurat. Sebab itu semua tidak menghalang adik untuk menjadi selebriti terkemuka. Adik akan menjadi penyanyi yang sopan dan menjaga susila.

Ya, ibu. Ya, ayah. Adik akan belajar sungguh-sungguh dalam bidang seni suara. Adik akan belajar teknik vokal, belajar teknik menadakan suara, belajar menari dan membuat persembahan dengan penuh emosi dan bertenaga sekali.

Izinkan adik, ayah dan ibu.

AKO : Jiwa generasi bangsa diperap kolonial hedonisme.

Leave a comment

Antologi Cerpen Salju Jabal Musa

Suatu kebetulan yang mungkin tidak disengajakan ialah saya merupakan antara lima peserta yang mendahului lain-lain peserta dalam ekspedisi mendaki Jabal Musa sekitar 2002. Rombongan yang menjangkau angka puluhan peserta itu, disertai pelancong-pelancong asing dari pelbagai negara sedikit pun tidak menggoyahkan semangat yang tertancap di jiwa saya untuk menawan puncak Jabal Musa.

Apa yang terawang-awang di fikiran kala kaki memijak Semenanjung Sinai ialah saya ingin merakam amat-amat di dalam hati detik-detik ekspedisi menjelajah Sinai sehinggalah pendakian getir bermula seawal 1 pagi pada malam terakhir ekspedisi itu. Saya berazam untuk menulis dan berkongsi pengalaman berharga itu di dalam karya.

Saya antara lima peserta yang mendahului sehingga dinobat peserta ketiga rombongan yang berjaya menggapai puncak. Ya, lima orang peserta pertama itu adalah seperti lima orang penulis di dalam antologi cerpen Salju Jabal Musa yang akan dilancarkan di Hotel Perdana, Kota Bharu, 10 Jun ini.

Sebelum mendaki, saya mengumpul seberapa banyak cerita dan tawarikh tentang Jabal Musa dan Semenanjung Sinai. Antara cerita yang menarik daripada rakan-rakan senior ialah mengenai salju Jabal Musa. Suhu di puncak yang bertukar setiap musim sejuk menyebabkan tidak semua yang bertuah untuk merasai salju di puncak. Jauh di perdu hati, saya dan rakan-rakan teringin untuk menjadi insan bertuah itu. Insan bertuah merasai salju Jabal Musa.

Setelah tiba di puncak dan menyaksikan keindahan matahari memanjat kaki langit, mampir seorang wanita Jepun menegur mohon keizinan bergambar bersama rombongannya. Usai bergambar, saya yang dicengkam kesejukan duduk di atas seketul batu berzikir menghadap tempat Nabi Musa bermunajat selama 40 hari di puncak.

Pasa masa itulah, tiba-tiba renik-renik salju halus bergentayangan turun di udara. Saya menadah tangan lalu tersenyum. Meskipun salju yang turun kala itu hanya halus, tetapi sudah cukup untuk memenuhi hasrat dan keinginan hati. Di situ, saya mula menyedari tentang keistimewaan salju Jabal Musa. Dan, benak mula mengandaikan bahawa salju Jabal Musa itulah kemuncak ekspedisi kami menjelajah Semenanjung Sinai.

Sekembali dari ekspedisi saya terus mendokumentasikan segala pengalaman itu di dalam karya. Saya mula mencipta watak Maria, membuka lembaran buku-buku sejarah dan tafsir Al-Furqan sehingga terhasillah cerpen Salju Jabal Musa [SJM]. Saya mungkin agak culas [meskipun ini merupakan masalah biasa sebagai penulis baharu] kerana sebelum mengarang saya telah membaca karya Nazmi tanpa jeda. Sehingga SJM seperti terpengaruh dengan karyanya yang berjudul Menyusur Akar Cinta Jabal Musa. Namun, saya tetap yakin bahawa karya kami tetap berbeza dan masing-masing memiliki keistimewaan tersendiri.

Tatkala seorang rakan menjemput saya menyertai angkatan antologi cerpen ketika mula-mula menyertai eSastera.com, saya mula menggempur media-media cetak. Ibarat rencak menggempur semangat menawan puncak Jabal Musa. Jika diamati, empat orang penulis di dalam antologi cerpen Salju Jabal Musa ini mungkin berpangkat umur adik-adik pada saya dan merupakan bekas peserta MPR. Tetapi persamaan tetap wujud bila saya tetap dan sentiasa menganggap diri masih 'adik-adik' dalam jagat Sastera Melayu dengan azam dan matlamat kami yang sama. Apa yang perlu diperhatikan dengan penerbitan antologi ini ialah hasrat dan semangat kami. Hasrat dan semangat kelima-lima penulis muda yang masih mentah ini.

Saya ketepikan segala masalah-masalah yang berlaku di sepanjang penerbitan antologi ini, ibarat saya mengenepikan segala keletihan semasa mendaki Jabal Musa, kerana saya percaya - di hadapan sana telah menanti sesuatu yang manis untuk kami. Ibarat kemanisan yang saya rasai tika menadah tangan menanti renik-renik salju yang bergentayangan turun, dari dada langit Jabal Musa!

AKO : Antologi cerpen Salju Jabal Musa boleh ditempah melalui emel : saljujabalmusa@yahoo.com

Leave a comment

Hidayah

Kamu kembali berfikir dan garu kepala.

Tiba-tiba kamu terasa kulit kepalamu pedih. Berdenyut-denyut. Rupa-rupanya kamu tidak sedar yang kamu terlalu lama menggaru kepala. Ralit. Kamu risau, adakah kepalamu sudah botak seperti Ronaldo atau sudah teruk luka-luka seperti akar-akar kayu yang berceranggah?

Lantas tangan kananmu gesit merasa ubun-ubun kepala. Jeda.

Akhirnya, kamu pun bersyukur kerana rambut masih ada tercacak kemas di atas kepalamu.

Kini kamu akan mengawal tanganmu itu dari terus ralit menggaru-garu kepala. Kamu pun kembali berfikir.

Dia pula di hadapanmu kembali terlopong. Kamu mengalihkan pandangan apabila melihat ada lelehan air liur sudah berlenja dari mulutnya yang ternganga itu.

Kamu cepat-cepat berfikir dan mencari jawapan sebelum air liurnya itu akan jatuh menimpa bumi. Kamu tanya akal dan hatimu sekaligus : apakah yang tertinggal itu wahai akal, wahai hati?

Lantas akal dan hatimu berkata serentak : kami perlukan panduan, dan panduan kami ialah Al-Quran dan Sunnah Rasulullah.

Jiwamu bergetaran. Ada debar yang menghempas.

Dan lekas-lekas kamu mengulangi kata-kata akal dan hatimu itu kepadanya. Dia tersenyum dan terkumam-kumam. Air liurnya yang berlenja kamu lihat sudah hilang. Tidak tahu ke mana. Dia terus meninggalkanmu dan mengucapkan terima kasih.

Jiwamu terus bergetaran. Ada getar yang beralun dalam dada.

Akal fikirmu menjelajah dan menerawang mengingati tulisan-tulisanmu yang pernah kamu hasilkan dahulu. Ya, tidak terarah.

Maka percayalah kamu kini - bahawa menulis berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah itu adalah tanggungjawabmu sebagai seorang Muslim. Ya, supaya kamu tidak akan ditanya Allah di akhirat kelak.

Dup! Dap! Dup! Dap! Jantungmu berdetak kencang.

Kamu kini sedar. Bahawa selama ini kamu menulis tidak pernah berpandukan Al-Quran dan Sunnah. Kamu mula sedar, yang kamu tidak boleh menulis hanya menggunakan akal dan hatimu. Akal dan hatimu perlu dipandu. Dan panduan itu ialah dua perkara - Al-Quran dan Sunnah Rasulullah supaya kamu tidak akan sesat buat selama-lamanya.

Kamu tersenyum dan kini kamu yakin bahawa - suara bisikan akal dan hatimu itu merupakan suatu hidayah!

"Secara peribadi, ada ketika tertentu, saya kembali merindui zaman awal saya dalam dunia penulisan. Zaman yang keseorangan, memenuhi masa dengan kegilaan membaca, menghindari, terluka, sepi, ilham yang hebat dan tidak mempedulikan. Saya sentiasa menginginkan dunia yang tersendiri."

S.M. Zakir, Dewan Sastera, Mei 2005.

AKO : Masih memiliki zaman itu dan mahu terus memilikinya. :)

Leave a comment

Garu kepala

Kepalamu terasa gatal-gatal dan tidak sentosa. Rasanya bukan sahaja kepalamu itu seperti penuh kutu, tetapi bagaikan sudah berlumur kelemumur dan penuh kurap.

Hatimu masih tertanya-tanya - mahu jawab apa ya?

Dia pula di hadapanmu sudah melopong ternganga. Melongo seperti manusia kebulur melihat orang makan sedap-sedap. Matanya pula sudah merah bagai biji saga.

Lantas kamu teringat yang kamu merupakan seorang penulis. Ya, selama ini kamu menulis menggunakan akal dan tulisanmu perlulah lahir dari hati.

Ideamu kini datang bertimpa-timpa.

Kamu pun berkata kepadanya :

Kamu perlulah membuat keputusan berdasarkan akal dan hatimu. Kamu perlu membuat keputusan berdasarkan kedua-duanya.

Jika kamu hanya membuatkan keputusan menggunakan akal, dikhuatiri keputusanmu itu tidak jujur dan ikhlas; tidak positif. Akal itu adalah cahaya kehidupanmu.

Dan jika kamu hanya membuat keputusan menggunakan hatimu, dikhuatiri orang tidak akan menerima keputusanmu dan kamu akan dianggap orang gila. Hati itu adalah medan bermastautinnya hasrat dan ilmumu.

Justeru, jika kamu menggunakan kedua-duanya, keputusanmu akan rasional dan seimbang.

Tiba-tiba sahaja fikiranmu berkata : hei, mana cukup hanya menggunakan akal dan hatimu!

Kamu kaku sejeda. Dia yang sudah mula tersenyum dan mahu beredar kamu tahan dengan berkata : tunggu dulu!

Dia jadi terpisat-pisat semula. Galur-galur buntu kembali melingkari wajahnya.

Tidak cukup. Tidak cukup. Rasanya seperti ada yang kurang pada pernyataanmu itu.

Kamu pun mula berfikir dan kembali garu kepala.

AKO : Tahniah buat semua pemenang HSKU 2004!

Leave a comment

Mahu jawab apa?

Suatu hari, mentari tegak di atas kepala. Bahangnya meruap-ruap sehingga kepalamu gatal-gatal seperti penuh kutu. Meremang-remang.

Masa itulah, dia yang bertubuh besar gempal-gempal seperti juara tinju datang kepadamu. Dahinya berkerut, pada wajahnya ada galur buntu. Peluhnya meleleh-leleh bagai nak penuh satu baldi. Bajunya kamu lihat sudah lecap lencun dan berpesuk-pesuk.

Dia menghampirimu dan kamu hendak tutup hidung tetapi tidak jadi. Dia terus bertanya kepadamu - jika mahu buat keputusan, harus berdasarkan apa?

1] Akalmu?

atau

2] Hatimu?

Hatimu lega. Rupa-rupanya dia datang mahu bertanya. Waktu itu kamu mula garu kepala - mahu jawab apa ya?

Leave a comment

Info AKO

Bicara Karya & Malam Baca Puisi eSastera.com

Tarikh : 10 Jun 2005

Tempat : Hotel Perdana, Kota Bharu Kelantan


Aturcara Majlis


Sesi 1 - Pelancaran & Diskusi Karya e-Sastera.com


2.15 petang - Kehadiran Tetamu/Peserta

2.30 petang - Ucapan Aluan Pengerusi Majlis

- Ucapan Pengasas e-Sastera.com

- Ucapan Perasmian Ketua Pengarah DBP

3.00 petang - Diskusi Novel 'Hostel : Debaran Kedua'

Panel :

1. SN S. Othman Kelantan
2. Prof Madya Dr Mokhtar Hassan [UM]

3.30 petang - Diskusi Antologi Cerpen 'Salju Jabal Musa'

Panel :

1. SN Dato' A. Samad Said
2. Mohammad Daud Mohammad [DBP]

4.00 petang - Sesi Dialog

5.15 petang - Penyampaian Cenderahati

5.30 petang - Bersurai


Sesi 2 - Majlis Baca Puisi e-Sastera.com


8.30 malam - Kehadiran Tetamu/Peserta

9.00 malam - Ucapan Aluan Pengerusi Majlis

- Ucapan Pengasas e-Sastera.com

- Ucapan Perasmian YAB Menteri Besar Kelantan

9.30 malam - Makan Malam dan Persembahan Sajak Siber

Deklamasi Sajak :

Lagu Puisi

Teater Monolog

Dikir Puisi

11.00 malam - Penyampaian Cenderahati

11.15 malam - Bersurai

Layari : http://www.esastera.com/

ii.

Kini sedang menikmati antara karya hebat Pramoedya Ananta Toer, Bumi Manusia. Karya ini ditulis pada 1975 semasa pengarang menjadi tahanan politik di Pulau Buru.

Blurb :

"Saya juga tidak berpendapat bahawa karya-karya Pramoedya yang lepas, walaupun mengkagumkan, melayakkannya untuk Hadiah Nobel. Tetapi, jikalau dia dapat mengekalkan mutu Bumi Manusia dalam jilid-jilid selanjutnya, saya berpendapat pencalonannya memang layak dipertimbangkan secara serius."

- Prof. Dr. A. Teeuw.

"Saya sendiri sudah baca seluruh buku ini; isinya baik sekali. Bumi Manusia layak menjadi bahan bacaan wajib di sekolah-sekolah dan universiti."

- Tun Adam Malik

Bumi Manusia, adalah antara jilid pertama dari usahanya sepanjang empat jilid yang merangkumi zaman 1890 hingga 1918, zaman kebangkitan nasional di Indonesia, iaitu zaman yang hampir tidak pernah disentuh dalam sastera Indonesia, zaman pengaruh pemikiran rasional yang mula menyerap, zaman pertubuhan-pertubuhan moden mula berkembang yang juga bererti permulaan kelahiran demokrasi ala Revolusi Perancis.

AKO : Untuk mereka yang cintakan keamanan.

Leave a comment

Guruku

1.

Suatu tengah hari, seorang guru sedang mengajar pelajarnya di dalam kelas. Tiba-tiba bekalan elektrik terputus. Dan kipas yang berputar pun berhenti.

"Cikgu, kami panaslah." Pelajar-pelajarnya mengeluh.

"Tak apa, cikgu pun berpanas dengan kamu sekali ni. Kita mulakan pelajaran ya?"

Para pelajar pun jadi akur.

2.

Suatu pagi, seorang guru ingin memulakan pelajarannya. Semua pelajar tekun menelaah kecuali seorang pelajar. Dia bingkas dan berkata...

"Cikgu, kelas ni membosankanlah."

Guru itu pun tersenyum. Lantas menyuruh semua pelajarnya pergi ke halaman sekolah yang dipenuhi rumput menghijau.

"Ok, hari ini kita akan belajar di sini ya?" Kata guru itu setelah berada di hadapan pelajarnya.

Para pelajarnya pun bertanya, "Kenapa cikgu?"

"Kelas itu membosankan. Jadi kita belajar di sinilah. Pendidikan itu kan berada di mana-mana. Boleh dilakukan di mana-mana sahaja."

Para pelajar terus duduk di atas tikar rumput meneruskan studi. Pelajar yang seorang itu kelihatan seperti tungau tak cukup makan bila melihat semua rakan-rakan mencemiknya.

3.

Seorang pelajar datang kepada seorang guru dan berkata...

"Cikgu, esok hari guru. Cikgu nak hadiah apa?" Pelajar itu tersenyum.

"Cikgu memang nak hadiah daripada kamu. Hadiah yang cikgu nak ialah kecemerlangan kamu."

Cikgu itu pun tersenyum.

4.

Hari ini Hari Guru, maka datanglah pelajar-pelajar kepada gurunya untuk membuat ucapan.

"Cikgu, selamat hari guru buat cikgu. Terima kasih di atas segala didikan dan pengorbanan cikgu." Ucap pelajar-pelajar itu penuh sopan.

"Eh, bila hari guru?" tanya cikgu itu pula.

Pelajar-pelajar itu jadi pelik.

"Hari nilah cikgu. Takkan cikgu tak ingat?" Seorang pelajar menjawab. Yang lain kerut kening.

Cikgu itu tersenyum dan berkata...

"Bagi cikgu, jika kamu semua selalu ingat pelajaran yang cikgu ajar, dan amalkannya dalam kehidupan, maka setiap hari akan jadi hari cikgu."

Pelajar-pelajar itu pun tersenyum.

5.

Selamat Hari Guru buat semua. Budi dan jasa seorang guru tidak akan terbalas sampai bila-bila. Guru menggalas amanat dan tanggungjawab yang amat berat. Dia, seorang guru, ingati dan kenanglah baktinya selama-lamanya.

Ikhlas daripadaku di AKO.

Leave a comment

Rindumu yang sebenar

Oh... Anak
Bintang-bintang ke syurga

Pertama percaya
Kedua tidak putus asa
Ketiga berfikir untuk terima
Keempat tidak berubah-ubah
Kelima rela berserah
Keenam pentingkan yang sedia
Ketujuh yang paling istimewa keikhlasanmu.

Kalau ada benda
Mesti ada namanya
Kalau ada isi
Mesti ada bekasnya.

Perlahan-lahan makan
Anak sayang
Jangan sampai tercekik paku seluruh alam.

Berhati-hati minum
Aduhai sayang
Jangan sampai tersedak buih satu lautan.

Perlahan-lahan jalan
Wahai sayang
Jangan sampai tersadung bendul gunung impian.

Jangan sampai tertumpah
Alahai intan
Setitis pun kasih sayang.

Tiada petua kemenangan selain ketaatan
Kepada Sang Pemilik
Kehendak dan ikhtiar
Rindumu yang sebenar.

Leave a comment

Suatu Subuh yang Bening

Hati begitu teruja bila membaca cerpen-cerpen di dalam antologi Suatu Subuh yang Bening. Membaca cerpen-cerpen di dalam antologi ini ibarat menyoroti pelbagai kisah kemasyarakatan, moral, perpaduan, kemanusiaan, perjuangan dan sebagainya yang bisa membangkitkan semangat dan jati diri. Secara peribadi, setiap kali usai membaca sebuah cerpen di dalam antologi ini, telah menyuntik suatu rasa yang sukar digambarkan. Rasa itu hadir dengan pelbagai rupa, membangkit suatu gejolak yang begitu mempesonakan.

Antologi cerpen Suatu Subuh yang Bening yang disusun oleh Othman Puteh dan Ramli Isin ini adalah terbitan Fajar Bakti Sdn. Bhd. Antologi ini memuatkan 25 buah cerpen hasil karya 25 orang penulis mapan dan kawakan terkemuka termasuklah Sasterawan Negara tanah air seperti Abdullah Hussain, Shahnon Ahmad, Usman Awang dan S. Othman Kelantan. Cerpen-cerpen di dalam antologi ini memperlihatkan perkembangan genre cerpen dari tahun-tahun 50an sehingga tahun-tahun 80an.

Azizi Hj. Abdullah tampil dengan gayanya yang tersendiri melalui cerpen Seladang. Abdullah Hussain juga mempersembahkan cerpen Baboon yang begitu mencuit hati. Dan tidak perlu diperkenalkan lagi cerpen Moyok oleh Shahnon Ahmad, Kami yang Terlibat oleh Usman Awang dan Pusaran oleh S. Othman Kelantan.

Kiranya tidak mampu untuk aku mengulas cerpen-cerpen ini satu persatu. Adalah lebih baik jika anda sendiri membaca dan menghayatinya. Antologi ini ditemui di perpustakaan sekolah dan sudah dua kali aku menyambung tarikh pinjamannya.

Tidak rugi membaca karya-karya sastera Melayu. Bukanlah disebabkan aku sebagai penulis, maka menjadikan diri ghairah untuk menggulati karya-karya sastera, tetapi aku membaca sebagai seorang peminat. Dan sebenarnya, setiap kali selesai membaca sesebuah karya sastera, rasa itu telah hadir, rasa itu telah datang dan rasa itu tampil. Rasa yang sukar untuk digambarkan. Ya, hanya yang menghayati sesebuah karya sastera akan menemui rasa itu.

Ya, marilah sama-sama merasainya!

1 Comment

Mukmin Idol

Dia, seorang lelaki, seorang anak, seorang bapa dan seorang pemimpin.

Dia, insan yang lahir dengan kemeriahan seluruh alam.

Dia, seorang yang jujur, penuh hemah dan susila budi pekerti.

Dia, berakhlak dengan al-Quran yang terpelihara sepanjang zaman.

Dia, tidak pernah merasai senang ketika hidup, tidak pernah berasa lega dengan keadaan umatnya akan datang.

Dia, tidak pernah henti bertahajud, berdoa untuk umatnya dan menjadi hamba yang bersyukur.

Dia, tidak pernah memilih kesenangan walaupun itu adalah berhak untuknya.

Dia, mahu umatnya mengerti, bahawa Islam itu agama sejahtera dan hanya Islam di sisi Allah.

Dia, mahu umatnya tahu, bahawa dakwah itu pengorbanan dan kesenangan itu akhirat.

Dia, mahu umatnya faham, bahawa seorang Muslim tidak akan jadi benar-benar Muslim jika tidak diuji.

Dia, mahu umatnya berwaspada, bahawa di akhir zaman, Islam dan sunnah itu akan kembali dianggap asing.

Dia, mahu umatnya beringat, agama itu adalah kehidupan dan Islam itu adalah akar matlamat.

Dia, idola Mukmin sedunia, pemberi syafaat dan sumber inspirasi perjuangan.

Dia, umatnya begitu dicintai, sehingga di akhir usia, kekal meniti di bibirnya yang mulia - ummati, ummati, ummati.

Dia, Muhammad Rasulullah, kekasih Allah, kekasih penduduk langit, kekasihku dan kekasih kalian.

Salam Maulidur Rasul, buat semua pengunjung AKO!

Leave a comment

Bintang Seorang Rafik

"Jika sesekali kauintai ke dada langit, pada waktu malam mesra menghamparkan kasih, carilah sebutir bintang paling karib di sisi bulan, kerana itu adalah bintangku. Biar jarak dan waktu memisahkan kita, kau pasti akan melihat bintang yang sama."

Masih ingat dengan cacatan wisata saya ke Syria?

Ya, saya abadikan catatan itu di dalam karya eceran saya lewat cerpen Bintang Seorang Rafik [BSR]. Cerpen ini tersiar di dada akhbar Berita Minggu [laman Sastera dan Budaya] hari ini bersama ilustrasi. Cerpen ini amat sesuai dengan jiwa saya. Saya menulisnya dengan penuh asyik, pada waktu malam mesra menghamparkan kasih, dibumbu muzik yang mendamaikan.

Cerpen ini mengisahkan mengenai watak Saya yang mempunyai seorang rakan bernama Rafik, juga merupakan seorang rafik. Watak Saya diserkup rindu dengan kepulangan Rafik ke Aceh. Cerpen ini bersifat restrospektif seperti cerpen pertama saya yang tersiar di Berita Minggu pada 2003 - Sebuah Tuhfah di ambang Syawal.

Saya memperkenalkan beberapa kosa kata seperti gancang dan warawiri. Yang paling saya harapkan ialah pembaca bisa menggenggam iktibar dan pengajaran dari kisah Rafik yang begitu tabah mendepani musibah yang datang menerjah. Beberapa watak tempelan [Mujahid dan Abdullatif] juga wajib diperhatikan agar nikmat keamanan yang kita kecapi di tanah air sentiasa disyukuri.

Ada yang bertanya saya - kenapa asyik di Berita Minggu [BM]? Kenapa tidak beralih angin ke Mingguan Malaysia [MM]? Bukankah di sana ada penilaian untuk HSKU?

Dalam perjumpaan bersama editor MM semasa Aidilfitri yang lalu, saya pernah bangun bertanya soalan - kenapa editor MM tidak berapa suka dengan karya berlatar luar negara? Dia menjawab - karya bernafas Islami tidak semestinya berlatar dunia Arab, malah boleh digarap menggunakan latar Malaysia. Sejak itu, saya rasakan karya-karya saya lebih mesra dengan BM.

Untuk jawapan bonus - saya berkarya bukan untuk hadiah, kerana saya amat takut terheret-leka dalam apa juga bentuk kebesaran.

Saya akhiri catatan entri ini dengan jawapan Rafik dalam BSR - kenapa mahu jadi seperti bintang?

"Jika bulan itu umpama Rasulullah, aku mahu menjadi pendampingnya yang paling akrab. Jika bulan itu ibarat agama kita, aku mahu menjadi pengawalnya yang paling setia."

Selamat membaca!

Leave a comment

Emel daripada Jynn

Aku dari bangsa yang berbeza. Begitu juga dengan asal usul kejadian apatah lagi tabiat dan budaya hidup. Yang serupa ialah kita memiliki akidah yang satu. Akidah yang sama.

Bukanlah aku nak mengomel tak tentu arah di dalam emelku ini. Tapi biarlah aku berterus terang agar emel ini boleh menjadi peneman fikir dan ulam hati kita.

Aku sebenarnya amat kasihan dengan nasib bangsamu. Bukan sahaja kasihan, malah kecewa, jijik dan jelek bercampur baur.

Aku kasihan kerana bangsamu yang sememangnya lemah itu selalu lupa diri. Aku kecewa kerana agama Islam yang sama-sama kita anuti tidak dipelihara kesuciannya. Aku jijik dan jelek melihat anak bangsamu terlalu mengagung-agungnya slogan Yahudi, menjunjung budaya Nasrani.

Bukan kau tidak tahu dahulu bangsamu selalu mengagungkan Rasulullah. Selalu mendalami tawarikh Muhammad dan menyoroti kisah para sahabat. Aku sudah hidup lama. Dan telah melihat kegemilangan Islam bangsamu sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi.

Namun, kini gadis-gadis bangsamu sudah mula mengidolakan gincu, celak, dandanan rambut gadis-gadis bersuara memikat di dada televisyen. Gadis-gadismu sudah tidak segan silu lagi menyebak rambut di depan khalayak ramai. Sudah hilang malu mempamerkan segala perhiasan diri.

Bangsamu kini terlalu disogokkan dengan keseronokan duniawi. Maka jadilah generasi bangsamu terlalu alpa bila akal fikir sudah dibumbui keseronokan berpanjangan. Berkelaring-kelarah berpesta menyanyikan lagu-lagu cinta lara, meneguk air-air syaitan dan hilang akal dibungkus kebisingan rumah hiburan.

Bukan kau tidak tahu, bangsaku yang berlainan agama dengan kita amat menyukai tempat-tempat hiburan seperti konsert 'Pasti Gempak' itu. Duit SMS dalam rancangan 'Idola Suara' yang boleh mendirikan sebuah masjid itu pula tersalur ke dalam saku orang-orang yang mencintai dunia. Si Yahudi dan Nasrani pula bertepuk tangan, berdendang suka melihat kerosakan bangsamu dari jauh.

Aku sebenarnya berasa tidak layak untuk menasihatimu. Bangsamu dijadikan dengan sebaik-baik kejadian. Namun, selalu sahaja bangsamu melupakan tentang Ar-Rahmannya Tuhan, Ar-Rahimnya Allah. Selalu sahaja lupa bahawa akhirat itu ada, kiamat itu pasti berlaku.

Aku akhiri emelku di sini. Akan kuselitkan lagi nanti, sebuah peringatan di antara deretan emel senarai pengutus mayamu.

Sehingga ketemu lagi.

Jynn,
Mandala Makhfi.

Leave a comment

Perasaan Adik

Adik suka bila orang suruh adik berusaha lagi. Sebab adik akan sentiasa sedar bahawa adik perlu lebih gigih dan rajin untuk memperbaiki kelemahan diri adik.

Tapi adik paling tak suka bila orang kata adik bodoh. Sebab bodoh tu tak sama dengan tak pandai. Tak pandai tak semestinya adik bodoh.

Adik suka bila orang suruh adik jaga adab. Sebab adik akan sentiasa ingat untuk jaga adab kepada ibu bapa, adab kepada guru dan adab kepada orang-orang tua.

Tapi adik tak suka bila orang kata adik biadab. Sebab ia akan lebih menjadikan adik tidak beradab. Apa tidaknya, adik akan merajuk dan tak mahu cakap dengan siapa-siapa. Termasuklah ibu yang datang memujuk berulang kali.

Adik suka bila orang suruh adik berbaik dengan kawan-kawan. Sebab adik akan selalu ingat erti persahabatan dan kasih sayang.

Tapi adik tak suka bila orang kata adik comot, adik gemuk. Sebab ia akan menjadikan adik lebih kecewa, pendiam dan tak suka berkawan.

Walaupun adik gemuk, adik comot, adik tak pandai, adik selalu buat kawan-kawan nangis, tapi sebenarnya adik ada perasaan untuk berubah. Adik mahu jadi baik sebab ibu kata - orang yang baik akan masuk syurga.

Kalau semua orang faham perasaan adik, tentu cikgu, ibu, abah, abang, kakak - tak akan kata adik bodoh, tak akan kata adik biadab, tak akan kata adik comot, adik gemuk.

Tapi mereka akan selalu doa dan nasihatkan adik dengan kata-kata yang mulia...

Leave a comment

Karya Eceran

Masih ingat dengan sajak yang pernah saya hasilkan berjudul - Gadis Kecil Kota Cairo?

Ya, kali ini saya tampil dengan cerpen berjudul Gadis Kecil Kota Kaherah. Cerpen saya kali ini tersiar di Majalah I, April 2005 [terbitan karangkraf] setelah dimaklumkan editornya sebulan yang lalu selepas cerpen Khairul Nizam Abd. Raub berjudul Gelombang Aceh pada bulan Mac. Ilustrasinya menawan hati.

Saya memilih majalah ini untuk penyiaran karya eceran saya pada 2005. Terima kasih buat sidang editorialnya. Saya masih mengekalkan identiti dengan cerpen-cerpen yang sebegini. Gemar berkongsi pengalaman wisata sekaligus pembaca bisa menggenggam iktibar.

Dapatkan Majalah I, April 2005.

Leave a comment

Dunia, putih dan hitamnya

Ah, indahnya dunia!

Begitu kata Ratna kepadaku 2 tahun dulu. Ketika mula-mula dia mengenali apa itu cinta, apa itu rindu.

Dunia kini milikku!

Begitu kata Ratna kepadaku setahun yang lalu. Ketika dia sedang mesra dibelai cinta, rindu dan sayang.

Dunia menipu!

Begitu kata Ratna kepadaku 2 bulan lalu. Ketika dia sedang sengsara menanggung lara hati setelah kehilangan cinta pertamanya.

Bukankah manusia itu akan menghargai setelah merasai duka kehilangan?

Dan, aku yakin yang Ratna tidak akan sengsara dan derita, sekiranya dari awal dia menanam tekad dalam jiwa - dia tidak akan tertipu dengan dunia!

ii.

Hampir setiap minggu aku perlu menghadiri program motivasi waima di bawah anjuran sekolah atau badan-badan kerajaan dan NGO.

Mutakhir, baru usai dijemput sebagai moderator sebuah program motivasi untuk anak-anak TELEKOM anjuran Badan Kebajikan Islam TELEKOM [BAKIT] dan Imtiyaz Enterprise [syarikat di bawah kendalian lepasan Al-Azhar].

Cabaran kerjaya begitu dirasai kini. Sedikit masa senggang di musim cuti sekolah inilah [jika tiada program] banyak aku gunakan untuk menulis dan meneliti beberapa manuskrip penulisan peribadi.

Antologi cerpen aku yang berjudul Salju Jabal Musa bersama 4 orang penulis muda - Ghafirah Idris, Nimoiz T.Y, Fahd Razy dan Ida Munira Abu Bakar akan terbit tidak lama lagi.

Nantikan kemunculannya!

Leave a comment

Menghargai pendidikan zaman lampau

i.

1970

Di sebuah desa yang permai, seorang ibu melihat tangan anaknya yang sedikit lebam sekembali dari sekolah tengah hari itu.

"Apa kena tangan engkau, Mamat?"

"Cikgu ketuk guna pembaris mak."

"Ha, padan muka kau! Siapa suruh nakal-nakal di sekolah."

2005

Di sebuah apartmen, seorang ibu melihat tangan anaknya yang sedikit lebam sekembali dari sekolah tengah hari itu.

"Apa kena tangan engkau, sayang?"

[Mula menangis] "Cikgu ketuk guna pembaris mak."

"Kurang asam punya cikgu. Tak apa, esok kita saman cikgu, esok kita saman sekolah ya?"


ii.

1970

Di sebuah sekolah, seorang pelajar ditangkap kerana melakukan kesalahan. Seorang guru ingin menghukum pelajar tersebut.

"Hulurkan tangan awak." [Pelajar itu menghulur tangan]

Zap! Zap!

"Maafkan saya cikgu, tolong jangan beritahu ibu bapa saya."

2005

Di sebuah sekolah, seorang pelajar ditangkap kerana melakukan kesalahan. Seorang guru ingin menghukum pelajar tersebut.

"Hulurkan tangan awak." [Pelajar itu enggan]

"Cikgu apa hal? Nak kena bunuh?"


iii.

1970

Seorang ibu sedang berbual dengan seorang guru apabila menghantar anaknya ke sekolah.

"Cikgu, kalau anak saya ni nakal-nakal di sekolah, cikgu cubit saja dia."

"Insya-Allah kak."

2005

Seorang guru memberi amaran kepada seorang pelajar untuk mencubitnya kerana nakal dan membuat bising.

Pelajar tersebut kembali ke rumah dan mengadu kepada ibunya yang duitnya berkepuk-kepuk dalam saku. Keesokannya, si ibu datang ke sekolah dan berjumpa dengan guru terbabit.

"Cikgu! Cikgu kata nak cubit anak saya? Sejak lahir sehingga hari ini saya sendiri tak pernah cubit anak saya tau!"

Leave a comment

Di hatimu

Di hatimu ada cinta, ada rindu dan ada sayang,
Kurniakanlah maghfirah, rahmat dan keberkatan.

Di hatimu ada dusta, ada khianat dan ada kesumat,
Kurniakanlah taufik, hidayah dan petunjuk dari kesesatan.

Di hatimu ada derita, ada nestapa dan ada sengsara,
Kurniakanlah reda, berilah kecekalan dan hilangkan kedukaan.

Di hatimu ada ria, ada gembira dan ada ceria,
Sentiasa waspada, ingatkan syukur dan derita mereka.

Di hatimu ada lagu, ada irama dan ada suara,
Bawalah ke arah kedamaian, kesejahteraan dan kesentosaan.

Di hatimu ada azam, janji dan semangat,
Berikan peringatan, tazkirah dan fahamkan pengorbanan.

Di hatimu ada jiwa, ada mata dan ada rasa,
Jadikan azimat untukku melihat kebenaran.

Di hatimu ada bisikan, ada elusan dan ada kata-kata...
Bukankah musibah dan nikmat itu petunjuk, ujian dan peringatan dari Tuhan?

Leave a comment

Alkisah Si Merah

Sungguh dia tidak tahu kenapa Putih tidak memilihnya. Balungnya merah tercacak, kepaknya gagah berjalur biru, susuhnya runcing, ekor pula berumbai-rumbai bulu panjang kebiruan.

Itu tidak cukup lagikah?

Dia juga masih tidak faham kenapa masih juga Si Putih memilih Hitam dan Kuning. Rela memilih Hitam yang berbalung landur, bersusuh tumpul. Rela dikerabat Kuning yang berbulu jarang berbalung kematu.

Sungguh dia tidak faham.

Kalau berkokok, dialah yang jaguh. Dialah yang paling kuat. Sampai tuan-tuan haji yang lelan bersembang santak ke pagi juga akan terkejut mendengar kokoknya. Itu belum masuk anak-anak muda berasan lelaki perempuan di celah-celah belukar yang terkejut dan lari lintang pukang mendengar kokoknya yang lain macam kuatnya itu.

Yang paling tidak difahaminya, kenapa pula Si Putih tidak sedar yang Si Hitam tu abang kandungnya. Dan Si Kuning itu pula ayahnya. Kenapa pula dia sanggup dikerabat leluhur sendiri?

Dia pening. Tiba-tiba sahaja dia teringat orang-orang kampung yang berbual-bual soal tragedi hitam seorang gadis malang yang tinggal di hujung kampung. Dia telah dikerabat ayah sendiri yang sudah tua kememeh berulang kali.

Sungguh, orang tua itu memang tak sedar diri!

Kali ini dia bertekad mahu mendekati Putih. Kalau berjaya, dia mahu berkokok menang hari ini.

Ketika melihat Putih sedang ralit memagut dedak di bawah pokok ketapang, lekas-lekas dia mendekatinya. Putih pun terkejut dengan kehadiran Merah yang balungnya tercacak itu. Namun, dia tidak kelihkan mata langsung kepada Merah. Walaupun sekejap.

"Apa lagi yang kaumahu daripada aku, Merah?" Putih menjeling seraya terus memagut dedak seolah-olah Merah tidak wujud di situ.

Kurang asam punya Putih, aku yang gagah ini langsung dia tidak pandang walau sepicing, getus hatinya.

"Wah, kau tak pandang pun aku yang gagah ni?"

"Kau ayam yang hebat Merah, ramai yang minat engkau. Kau ada susuh yang kuat. Sekali tutuh sahaja ayam-ayam jantan lain akan mati. Kenapa kau tak pergi sahaja kepada Kelabu yang cantik itu?"

Merah tersengih. Dia betul-betul bangga bila dipuji Putih.

Bukan dia tidak pernah pergi kepada Kelabu. Sudah berulang kali dikerabatnya Kelabu yang berparuh cantik itu. Cuma, hanya yang seekor ini. Si Putih inilah yang amat susah mahu ditawannya. Kalau berjaya dikerabatnya Putih hari ini, akan berjayalah dia.

Dan, dia akan jadi ayam jantan yang paling hebat di dunia!

Merah mengembangkan paruh sebelum mengibas-ngibasnya. Kemudian dia menaikkan kaki menunjukkan susuhnya yang runcing. Cuba memikat.

"Dahlah Merah. Lupakan sahaja hasrat kau itu." Kata Putih selamba sebelum masuk ke dalam reban.

Merah tertunduk kecewa. Dia menerima nasib yang sama seperti Jiman, anak penghulu kasanova yang dikecewakan Meera, setelah pertama kali mengenali apa itu cinta!

Noktah.

Leave a comment

Kau, manusia hebat! [Dedikasi buat peserta RINDU '05]

Kau tidak pasti, apakah ujian yang timpa menimpa, yang bertali temali itu adalah tanda Tuhan murka kepadamu?

Atau, apakah ujian yang kadang menyesakkan jiwamu, yang kadang menyusutkan semangatmu, yang kadang meluluhkan nubarimu itu adalah nyata sebuah peringatan dan tazkirah dari Tuhan?

Kau buntu, tenggelam dalam sebuah pencarian.

Bila jelas di matamu, melihat manusia di sekeliling yang sentiasa girang menyambut hari-hari mendatang, kau jadi cemburu. Kau tanya hati dalam jujuhan air mata - kenapa kau yang diuji?

Ada getaran dalam dada. Kuat memecah sebak dan pilu di hatimu. Ada cahaya yang bersinar dari mata hatimu. Ada bisikan kecil lahir dari dalam sanubari - kau sebenarnya menjadi insan pilihan Tuhan untuk menerima ujian.

Akal fikirmu pula menjelajah hati dan berkata - Tuhan menyayangimu lebih daripada manusia yang Tuhan berikan kesenangan itu, supaya kau mengingati akan karibnya mati, supaya kau berfikir betapa daifnya habuan duniawi.

Kau jadi kelu, bila akalmu menterjemah jiwamu yang diasak persoalan bertalu-talu. Namun, dalam ribuan persoalan itu, nyata pusat akalmu berhenti pada persoalan ini - bukankah matlamat utama hidupmu adalah untuk kesenangan akhiratmu?

Tubuhmu menggigil, bila melihat berjuta muslim yang mencintai dunia dan takutkan mati. Tubuhmu gementar bila mengingatkan ramai orang Islam yang tidak menanam benih untuk kesenangan akhiratnya.

Juga jelas di matamu, masalah yang berbelit-belit, pintal berpintal itu nyata membuatkanmu sering mengingati Tuhan, tenggelam dalam sujud panjang kala dinihari.

Bukankah di mataku, dan di mata mereka - kau seorang manusia yang hebat?

Leave a comment

Salam Maal Hijrah 1426

Salam Hijrah buat semua pengunjung AKO.

Kini sedang ripuh menguruskan slide show, pamplet, tag name dsb serta menjejaki idea-idea baru untuk program motivasi dan qiyamullayl kami.


Tarikh : 11 - 13 Februari 2005
Peserta : 118 orang pelajar tingkatan 1
Tempat : SMK Taman Semarak, Nilai

Menampilkan moderator :

1] Brother Sham, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. [ASA Explorer Training & Consultancy.]

2] Brother Arm, Universiti Al-Azhar, Mesir. [ASA Explorer Training & Consultancy.]

Menampilkan penceramah :

1] Al-Fadhil Ustaz Haji Ahmad Azhari Talib - GPK HEM, SMA Teluk Kemang, Port Dickson. [Untuk tajuk - Motivasi Solat]

2] Al-Fadhil Ustaz Haji Norazman Mohamad - Imam I, Masjid Jamek Ampangan, Seremban. [Untuk tajuk - Adab-adab sebagai seorang pelajar]

Sempena kedatangan Maal Hijrah 1426.

RINDU '05 - Meneroka Potensi, Membina Peribadi.

Leave a comment

Seorang Tua di Kaki Gunung [Dedikasi buat Ustaz Azizi yang dikagumi]

Aku mungkin antara yang ketinggalan kerana baru lebih kurang 3 minggu selesai mengkhatami novel Seorang Tua di Kaki Gunung karya penerima S.E.A Write Award 1988, Azizi Hj. Abdullah. Setelah selesai membaca novel satiranya, Kawin-Kawin dan membaca ulasan Faisal di Kaki Seni, aku terdorong untuk menjejaki semua karya-karya Azizi.

Seorang Tua di Kaki Gunung telah mendapat tempat kedua dalam Sayembara Hadiah Novel GAPENA - Yayasan Sabah II [1981]. Novel terbaru Azizi, satira Kawin-Kawin telah berjaya merangkul tempat pertama Hadiah Sako setelah menduduki tempat ketiga dengan novel Wi & William sebelumnya, yang pada masa itu dimenangi oleh novel Imam karya SN. Abdullah Hussain.


Tidak perlu diperkenalkan lagi Azizi Hj. Abdullah dalam jagat sastera Melayu. Di samping begitu prolifik menghasilkan cerpen dan novel, beliau juga terlibat dengan penulisan rencana, drama radio dan TV dan menjadi kolumnis di beberapa buah majalah dan akhbar. Dengan sensitivitinya terhadap masalah sosial dan kecenderungan bahasa yang kadang meledakkan emosi, yang kadang membuatkan pembaca tidak kering gusi, Azizi Hj. Abdullah berpeluang besar menjadi calon Sasterawan Negara akan datang.

Membaca novel ini seperti sama-sama mendorong diri ke alam semula jadi, dengan estetika ilmu kehutanan yang begitu memegunkan. Pembaca akan menjadi akrab dengan watak Tukya sekaligus akan mencintai kehidupannya di kaki Gunung Bongsu.

Novel ini memperlihatkan ketegasan pendirian golongan tua terhadap corak kehidupan tradisi dengan pantang larang dan petua-petua yang sepatutnya dihormati oleh golongan muda. Usaha yang bersungguh-sungguh menggambarkan latar alam, melakar watak yang sarat dengan emosi seorang tua menggambarkan daya cipta dan kreativiti pengarang yang besar. Kegigihan seorang tua bernama Tukya dalam mempertahankan pendirian dan ledakan perasaannya merupakan lambang ketokohan yang wajar dihormati. Azizi telah berjaya melakar watak Tukya sebagai seorang legenda yang tidak akan dilupakan oleh pembacanya.


Tukya seorang tua yang tinggal di Kaki Gunung bongsu bersama isterinya, Besah mempunyai seorang anak yang bernama Fikri. Fikri telah berjaya dalam pelajaran dan tinggal di Kuala Lumpur. Hasil pernikahan Fikri dan Fatimah, Tukya memiliki dua orang cucu - Farid dan Lamin. Ditakdirkan, semangat dan jiwanya banyak tertumpah kepada Lamin.

Beberapa lapis cerita ini memperlihatkan bagaimana bersemangatnya Tukya untuk mencurahkan segala ilmu hutannya kepada Lamin, sehingga hampir maut disengat lebah rimba. Di sinilah pembaca akan dicurahkan dengan ilmu-ilmu hutan yang diajarkan Tukya melalui watak cucu kesayangannya itu.

Kedegilan dan ketegasan pendirian seorang tua begitu menyerlah apabila Tukya berhasrat membina sebuah rumah baru dengan menebang sebatang cengal sebesar dua setengah pemeluk apabila rumah lamanya yang sudah lama tersergam dan memberi jasa itu menjadi ejekan anak cucunya.

Yang menjadi perkara penting di sini ialah bagaimana kesedaran pengarang melihat kelompangan dalam susur galur kehidupan anak bangsanya. Kelompangan dalam kehidupan generasi muda atau golongan manusia akan datang. Kelompangan dan jurang generasi yang perlu ditampil-lapik melalui daya kepengarangan yang bersungguh dan begitu teliti. Adalah wajar apresiasi yang diberikan DBP kepada Azizi dengan menyenaraikan novel ini dalam himpunan novel-novel pilihan abad ke 20.

Novel ini begitu bermanfaat kepada generasi muda remaja supaya sentiasa mengingati dan menghargai kehidupan zaman lampau.

2 Comments

Idea oh idea

Idea memang banyak. Sebagai penulis dan motivator, minda sudah dilatih untuk sentiasa berfikir dan pancaindera ikut sama merenung. Tengok gelagat pelajar yang macam-macam, telatah guru yang manca ragam, bikin motivasi yang jumpa macam-macam jenis orang, membuatkan idea meredas-redas masuk ke dalam kotak fikir.

Tapi, itulah, bila sudah letih dan dibungkus kantuk, idea mudah bubar dan susah pula mahu dipanggil semula. Teringat juga hendak mencatat, tapi banyak pula kerja yang bertandang dan lebih aula untuk diselesaikan. Ingatan hendak mencatat pun bercempera.

Tu sebab menulis juga perlukan mujahadah dan pengorbanan jadi mesti. Mungkin sesetengah penulis tidak suka menulis ada deadline. Lebih suka bebas dan tidak terikat.

Bagi aku? Tak kisah. Deadline boleh membuatkan aku lebih peka dan terdorong untuk menulis. Cuma, jangan dek kerana terkejar, karya pun jadi lahabau.

Untuk ubatkan hati kita, marilah soroti petikan artikel SN. Shahnon Ahmad, Dongeng Hujan dalam DS, Januari 2005 :

"Sebagai seorang sasterawan, ilham atau bahan untuk mencipta memang banyak sekali. Sering berlegar dalam kepala malah, macam awan mendung yang akan menghasilkan hujan. Namun, ilham tinggal ilham. Idea tinggal idea juga. Karya tidak juga menjadi. Apabila hujan menjadi, bermakna hujan akhirnya turun membawa rahmat. Alangkah indahnya apabila hujan turun membawa rahmat. Alangkah indahnya apabila karya tercipta membawa manfaat."

1 Comment

Apa lagi yang dia dan mereka mahu?

Aku jadi pelik bila tengok satu kes ni.

Si isteri kata suaminya terlalu mengongkongnya. Alasannya - tak bagi keluar bekerja dan suruh duduk rumah jaga anak dan rumahtangga.

Pelbagai agensi yang tampil memberi sokongan kepada si isteri. Kata mereka si isteri ni memperjuangkan hak seorang wanita. Dapat pula bila si isteri ni berkelulusan luar negara. Berkelulusan besar dan hebat-hebat.

Biarlah aku berterus-terang bahawa perempuan ni sebenarnya tak sedar diri. Perempuan ni dah keliru dan dikelirukan tentang peranan sebenar seorang wanita. Benar, perempuan kini tidak boleh ketinggalan dan mampu beriringan dengan rijal dalam segala bidang. Tapi jangan lupa, tugas utama mendidik, membangunkan spiritual anak yang pernah dikandung dan tanggungjawab rumahtangga itu perlu diberi prioriti. Semacam lupa pula bahawa di rumah itulah bermula segala-galanya. Semacam lupa pula bahawa dari rumah itulah akan lahirnya kampung, kota, negeri dan negara.

Pilih Islam sebagai manhaj hidup pula sekarang ni, ramai yang kata jumud. Tak terbuka dan reseptif. Tak boleh masuk function berprestij bila pakai tudung litup ni. Pakai tudung litup susah nak berdakwah. Pakai tudung litup tak semestinya baik. Macam-macam alasan.

Dia dan mereka macam lupa pula bila agama dan sunnah itu dipraktikkan di tengah-tengah kejahilan, pahalanya berlipat kali ganda. Macam lupa pula bahawa menutup aurat secara sempurna itu merupakan tanggungjawab. Macam lupa pula apa yang Saidina Umar lakukan apabila turunnya perintah solat. Macam lupa pula bahawa agama itulah yang dianutinya sejak lahir. Macam lupa pula jika Islam itu tidak membawa kehidupan manusia ini dari zulmat kepada nur, maka pasti sekarang ini perempuan akan ditanam hidup-hidup.

Paling penting - macam lupa pula bahawa Tsunami, tanah runtuh, banjir kilat dan bencana alam yang bertali-temali sekarang ini merupakan tempias-tempias kiamat kubra.

Jadi, apa lagi dia dan mereka mahu?

Leave a comment

Kembali ke persada!

Setelah lebih kurang sebulan menunggu, hari ni dapat juga aku online dari rumah. Pc yang sudah hilang harga diri tu aku dah humban jauh-jauh. :D

Kelih pula dalam Mingguan Malaysia hari ini - ada tulisan Kak Nisah. Semoga penulisan weblog semakin diterima dan diberi prioriti oleh khalayak penulis dan masyarakat dalam memanfaatkan teknologi yang percuma!

Juga, ada tulisan Khairul Nizam Raub tentang Tunggu Teduh Dulu, Faisal Tehrani.

Terlalu banyak mahu diceritakan sehingga tidak tercerita. Libang-libu dengan program sekolah, mengajar, menjejak potensi. Jangan lupa, guru itu murabbi, mengambil alih tugas mulus para nabi.

Penulisan? Tergendala seketika dek pc yang bermasalah. Apapun sekarang - i'm back!

Terima kasih kepada yang masih rindu-rinduan untuk bertandang ke mari. Nantikan entri demi entri yang seterusnya di AKO!

Baca - Penulis wajar manfaatkan blog

Leave a comment

Beberapa peristiwa dan beberapa aliran kesedaran

Modem yang rosak dan aku tak boleh nak online macam biasa. AKO terpaksa tidak beroperasi lama.

*Maka aku pun percaya yang rupa-rupanya pc aku juga terkena badai Tsunami. Jadi, pelawat-pelawat web aku kenalah bersabar. :D

Bila ke Taiping, masuk zoo dan tengok macam-macam jenis binatang.

*Aku macam terfikir - sampai bila generasi yang nak kenal binatang kena masuk zoo. Sampai bila hutan-hutan nak diteroka, binatang-binatang lindungan ditembak ditutuh. Rupa-rupanya aku perasan yang tak semua orang boleh masuk hutan. :D

Bila ke Taiping, naik kereta, ada kereta di depan dan pemandunya tak bagi signal nak memotong.

*Aku jadi hangat. Tapi aku beringat, yang kadang-kadang aku juga tak bagi signal bila memotong. Hangat aku tak menjadi.

Bila selesai membaca novel Seorang Tua di Kaki Gunung, Azizi Hj. Abdullah.

*Aku pun sedar sebagaimana resolusi yang aku buat daripada kata Besah kepada anaknya - kalau orang tua boleh membenarkan dan hormat pendapat orang muda, jadi kau juga sebagai orang muda patut hormat dan membenarkan juga pendapat orang tua.

Bila lalu kelas rakan cikgu yang sedang mengajar. Dia macam bercakap seorang diri di depan. Murid-murid di belakang main baling-baling kertas.

*Aku sedar, yang cikgu tu sebenarnya sedang mengajar diri sendiri. Bukan mengajar anak muridnya. Atau mungkin sedang memujuk hati. :D

Memo : AKO akan kembali aktif dalam 2 minggu lagi. Terima kasih kerana masih tekal berkunjung. Kini sedang menikmati novel Tunggu Teduh Dulu, Faisal Tehrani.

Leave a comment

Di sebalik wajahmu, Tsunami

Dulu, kulihat ada gelora di wajahmu, Tsunami. Ada golak, ada gegar, ada arus yang gasang.

Bukankah kau, Tsunami? Yang lahir dari deburan ombak yang menyejukkan, yang mendamaikan, yang setia mendeburi pantai? Yang tiba-tiba bertukar wajah - menggerunkan, menghancurkan, meranapkan?

Di penghujung hempasanmu itu Tsunami, kudengar suara yang merintih, ada sendu dalam nestapa yang lirih. Ada sengsara, ada duka, ada kecewa dalam tangisan yang panjang.

Aku terdengar suara kaum Nabi Luth merintih.
Aku terdengar suara kaum Nabi Noh merintih.
Aku terdengar suara rintih tentera Abrahah yang lirih.
Aku terdengar suara kaum Saba' yang pipis.

Bukankah Tsunami itu satu teguran?
Satu peringatan dari Tuhan?



Indonesia - 80,248
Sri Lanka - 29,744
India - 14962
Thailand - 499
Somalia - 200
Myanmar - 90
Maldives - 73
Malaysia - 68
Tanzania - 10
Filipina - 3
Bangladesh - 2
Kenya - 1

Namun, kini kulihat ada sinar kasih sayang di wajahmu, Tsunami. Ada ehsan, ada belas dan ada sinar pemurah terpancar dari matamu itu.

Kaupancarkan juga sinar kasih itu dalam hati-hati yang pernah pongah.
Kausuburkan sayang dalam jiwa-jiwa yang kontang.
Kausemaikan manusiawi di setiap hati dan jiwa.

Sebenarnya Tsunami, kaulah legasi manusiawi yang berbudi.

ps : AKO selamat meraikan ulangtahunnya yang kedua! :)

Leave a comment

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.