Antologi Cerpen Salju Jabal Musa

Suatu kebetulan yang mungkin tidak disengajakan ialah saya merupakan antara lima peserta yang mendahului lain-lain peserta dalam ekspedisi mendaki Jabal Musa sekitar 2002. Rombongan yang menjangkau angka puluhan peserta itu, disertai pelancong-pelancong asing dari pelbagai negara sedikit pun tidak menggoyahkan semangat yang tertancap di jiwa saya untuk menawan puncak Jabal Musa.

Apa yang terawang-awang di fikiran kala kaki memijak Semenanjung Sinai ialah saya ingin merakam amat-amat di dalam hati detik-detik ekspedisi menjelajah Sinai sehinggalah pendakian getir bermula seawal 1 pagi pada malam terakhir ekspedisi itu. Saya berazam untuk menulis dan berkongsi pengalaman berharga itu di dalam karya.

Saya antara lima peserta yang mendahului sehingga dinobat peserta ketiga rombongan yang berjaya menggapai puncak. Ya, lima orang peserta pertama itu adalah seperti lima orang penulis di dalam antologi cerpen Salju Jabal Musa yang akan dilancarkan di Hotel Perdana, Kota Bharu, 10 Jun ini.

Sebelum mendaki, saya mengumpul seberapa banyak cerita dan tawarikh tentang Jabal Musa dan Semenanjung Sinai. Antara cerita yang menarik daripada rakan-rakan senior ialah mengenai salju Jabal Musa. Suhu di puncak yang bertukar setiap musim sejuk menyebabkan tidak semua yang bertuah untuk merasai salju di puncak. Jauh di perdu hati, saya dan rakan-rakan teringin untuk menjadi insan bertuah itu. Insan bertuah merasai salju Jabal Musa.

Setelah tiba di puncak dan menyaksikan keindahan matahari memanjat kaki langit, mampir seorang wanita Jepun menegur mohon keizinan bergambar bersama rombongannya. Usai bergambar, saya yang dicengkam kesejukan duduk di atas seketul batu berzikir menghadap tempat Nabi Musa bermunajat selama 40 hari di puncak.

Pasa masa itulah, tiba-tiba renik-renik salju halus bergentayangan turun di udara. Saya menadah tangan lalu tersenyum. Meskipun salju yang turun kala itu hanya halus, tetapi sudah cukup untuk memenuhi hasrat dan keinginan hati. Di situ, saya mula menyedari tentang keistimewaan salju Jabal Musa. Dan, benak mula mengandaikan bahawa salju Jabal Musa itulah kemuncak ekspedisi kami menjelajah Semenanjung Sinai.

Sekembali dari ekspedisi saya terus mendokumentasikan segala pengalaman itu di dalam karya. Saya mula mencipta watak Maria, membuka lembaran buku-buku sejarah dan tafsir Al-Furqan sehingga terhasillah cerpen Salju Jabal Musa [SJM]. Saya mungkin agak culas [meskipun ini merupakan masalah biasa sebagai penulis baharu] kerana sebelum mengarang saya telah membaca karya Nazmi tanpa jeda. Sehingga SJM seperti terpengaruh dengan karyanya yang berjudul Menyusur Akar Cinta Jabal Musa. Namun, saya tetap yakin bahawa karya kami tetap berbeza dan masing-masing memiliki keistimewaan tersendiri.

Tatkala seorang rakan menjemput saya menyertai angkatan antologi cerpen ketika mula-mula menyertai eSastera.com, saya mula menggempur media-media cetak. Ibarat rencak menggempur semangat menawan puncak Jabal Musa. Jika diamati, empat orang penulis di dalam antologi cerpen Salju Jabal Musa ini mungkin berpangkat umur adik-adik pada saya dan merupakan bekas peserta MPR. Tetapi persamaan tetap wujud bila saya tetap dan sentiasa menganggap diri masih 'adik-adik' dalam jagat Sastera Melayu dengan azam dan matlamat kami yang sama. Apa yang perlu diperhatikan dengan penerbitan antologi ini ialah hasrat dan semangat kami. Hasrat dan semangat kelima-lima penulis muda yang masih mentah ini.

Saya ketepikan segala masalah-masalah yang berlaku di sepanjang penerbitan antologi ini, ibarat saya mengenepikan segala keletihan semasa mendaki Jabal Musa, kerana saya percaya - di hadapan sana telah menanti sesuatu yang manis untuk kami. Ibarat kemanisan yang saya rasai tika menadah tangan menanti renik-renik salju yang bergentayangan turun, dari dada langit Jabal Musa!

AKO : Antologi cerpen Salju Jabal Musa boleh ditempah melalui emel : saljujabalmusa@yahoo.com

Bookmark the permalink. RSS feed for this post.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.