Tiga pusat peranginan Mesir diserang, 40 maut

TABA, Mesir - Sekurang-kurangnya 40 orang terbunuh dan lebih 150 yang lain cedera dalam satu letupan kuat yang memusnahkan sebuah hotel peranginan popular pelancong Israel di Semenanjung Sinai, Mesir malam tadi.

Letupan yang berlaku sekitar 10.00 malam itu menggegarkan Hotel Hilton di pusat peranginan Taba, hanya beberapa meter dari sempadan Israel.

Ia dipercayai berpunca daripada bom yang dibawa di dalam sebuah trak.

Bilangan kematian dijangka meningkat dengan pegawai kanan tentera Israel, Yair Naveh menyatakan 38 lagi rakyat Israel hilang dan masih tertimbus di bawah runtuhan.
Pihak berkuasa Mesir melaporkan sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh termasuk enam warga Mesir.

Letupan di Taba itu disusuli dengan dua letupan lebih kecil sejurus sebelum tengah malam di pusat-pusat pelancongan lain di Sinai dan saksi melaporkan ketiga-tiganya berpunca daripada bom kereta.

Pegawai hospital Mesir berkata, empat orang terbunuh apabila dua letupan menggegarkan kawasan Ras Shitan, sebuah kawasan perkhemahan dekat bandar Nuweiba ke selatan Taba.

Dua pertubuhan berhaluan Islam yang tidak dikenali sebelum ini mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan-serangan itu.

Letupan kuat itu merobohkan sebuah blok 10 tingkat di Hotel Hilton yang dibina oleh Israel semasa rejim Yahudi menguasai Taba dari 1967 hingga 1989.

Pelancong Israel di hotel tersebut menggambarkan suasana kelam-kabut apabila letupan itu menyebabkan tingkat-tingkat atas hotel runtuh menimpa kawasan lobi.

Empat jam selepas letupan tentera Israel mengambil alih tempat kejadian, kata jurucakap tentera.

Bagaimanapun kelewatan berlaku dalam penghantaran askar Israel dan pasukan keselamatan ke seberang sempadan yang tegang itu.

Komander pasukan bantuan jabatan bomba Israel, Shimon Romach memberitahu Radio Israel, mayat mangsa boleh kelihatan di bawah runtuhan.

"Kami tidak yakin ada mangsa yang terselamat di bawah sana,'' katanya sambil menjelaskan beliau menantikan kebenaran pihak Mesir untuk membawa masuk jentera berat bagi mengalihkan runtuhan.

Letupan-letupan itu berlaku sebulan selepas kerajaan Israel memberi amaran kepada rakyatnya agar jangan melawat Mesir dengan menyebut ancaman keganasan yang jelas terhadap pelancong di negara itu.

Utusan Malaysia, 9 Oktober.

Nota hujung :

1] Berita melaporkan dua letupan menggegarkan kawasan Ras Shitan, sebuah kawasan perkhemahan dekat bandar Nuweiba ke selatan Taba. Kawasan ini adalah kawasan yang pernah aku lewati semasa berwisata dulu.

2] Mungkin Semenanjung Sinai akan diisytiharkan kawasan tidak selamat selepas ini.

Bookmark the permalink. RSS feed for this post.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.