Dari Lyra ke Dinar

Tragedi ini berlaku semasa aku meninggalkan kota Damsyik ke Amman hari ini [26 September]. Baca berita...

Pegawai Hamas dibunuh

DAMSYIK 26 Sept. - Seorang pegawai kanan pergerakan pejuang Palestin, Hamas terbunuh hari ini apabila sebutir bom meletup di dalam keretanya di Damsyik, Syria.

Izz El-Deen Al-Sheikh Khalil, 40, terbunuh apabila bahan letupan yang dipasang di bawah tempat duduk pemandu memusnahkan kereta SUV yang dipandunya di kawasan kediaman Az-Zahera di ibu kota Syria itu sejurus selepas 11.30 pagi [4.30 petang waktu Malaysia].

Seorang jurucakap Hamas di Gaza berkata, pembunuhan itu adalah jenayah yang dilakukan oleh agensi perisikan Israel, Mossad.

Pegawai Israel enggan mengulas mengenai pembabitan rejim Yahudi itu.

"Sesetengah orang menjalani kehidupan berbahaya,'' kata seorang pegawai Tel Aviv.

Bom berkenaan dipercayai disembunyikan di bawah tempat duduk pemandu dan meletup sebaik sahaja Izz El-Deen menghidupkan enjin keretanya, kata saksi-saksi. Percikan darah kelihatan pada tempat duduk belakang. Letupan itu memecahkan cermin tingkap bangunan-bangunan tinggi di sekitar tempat kejadian dan merosakkan sebuah kereta berhampiran.

Sumber Palestin berkata, Izz El-Deen dipercayai bertanggungjawab terhadap sayap tentera Hamas di luar wilayah Palestin.

Wakil Hamas di Lebanon, Osama Hamdan bagaimanapun menyatakan, Izz El-Deen hanyalah seorang pegawai pergerakan itu dan bukan antara pemimpin kanannya.

Izz El-Deen telah diusir oleh Israel ke Lebanon 12 tahun lalu, katanya.

Pegawai keselamatan Israel sebelum ini memberi amaran, tentera rejim akan bertindak balas terhadap dua serangan bom di dalam bas yang meragut 16 nyawa di bandar Beersheba, selatan Israel pada 31 Ogos lalu dengan melancarkan semula kempen pembunuhan terhadap pemimpin Hamas di wilayah Palestin dan di luar negara.

Awal bulan ini, ketua tentera Israel, Moshe Yaalon berkata, Israel akan bertindak terhadap pihak yang menyokong keganasan termasuk mereka yang mengetuai pos-pos operasi keganasan di Damsyik.

[Utusan Malaysia, 27 September].

Bookmark the permalink. RSS feed for this post.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.